Rachel: “Terima kasih, saya beli di platform online sahaja.’’

Farah: “Saya tak berani beli secara online.’’

Rachel: “Kenapa?’’

Pada pendapat anda mengapakah Farah tidak berani untuk membeli barang secara dalam talian? Adakah anda juga se­perti Farah?

Berikut adalah lima alasan atau kebimbangan yang dihadapi pembeli dalam talian:

1. Barang tidak sama seperti di dalam gambar.

Sewaktu anda membeli beg tangan, anda sudah membuat pilihan warna hijau. Tetapi apabila sampai ke tangan anda, beg tangan itu berwarna merah dan tidak mempunyai tali yang panjang seperti dijanjikan.

Pernahkah anda menghadapi situasi ini? Setelah membuat aduan, pihak penjual atau khidmat pelanggan sesebuah portal beli-belah itu akan meminta anda untuk memulangkan produk yang salah itu untuk digantikan dengan barang yang sebe­tulnya. Tetapi, sesetengah individu tidak mempunyai masa untuk melakukan begitu.

Malah, terdapat beberapa portal beli-belah tidak menanggung kos penghantaran semula produk tersebut yang menyebabkan pembeli perlu mengeluarkan duit sendiri untuk membuat pertukaran.

2. Barang tidak sampai kepada pembeli.

Proses penghantaran dalam negara kebiasaannya mengambil masa dua hingga tiga hari bagi Semenanjung sementara Sabah dan Sarawak dalam tempoh empat hingga lima hari. Bagaimanapun, tidaklah pelik sekiranya barang yang dihantar dari Keramat, Kuala Lumpur ke Ampang, Selangor mengambil masa lebih 10 hari.

Penyedia perkhidmatan peng­hantaran kurier pada waktu cuti umum terutama­nya menerima jumlah bungkusan yang terlampau banyak. Ini menyebabkan sesetengah bungkusan mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke tangan pembeli.

Saya tidak pasti sekiranya terdapat isu kehilangan bungkusan bagi penghantaran di dalam Malaysia kerana penulis sendiri tidak pernah mengalaminya. Tetapi, bagi kes bungkusan tidak sampai dari luar negara, ia adalah satu perkara biasa. Mungkin sebab itu wujudnya Personal Shopper?

3. Keselamatan data.

Aktiviti kecurian identiti, pancingan data dan laman web penipuan yang semakin me­ningkat memerlukan pengguna di Malaysia untuk berhati-hati semasa membeli-belah dalam talian.

Firma penyelesaian kese­la­matan siber, Fortinet menggariskan tiga panduan yang perlu diingati pengguna Malaysia ketika membeli-belah dalam talian, iaitu amalkan membeli-belah yang selamat seperti penyata pengesanan bank dan kad kredit, berfikir dua kali sebelum pembayaran disambungkan dan awasi ancaman yang muncul.

4. Tidak mahir perbankan dalam talian.

Didorong peluasan penggunaan dan kebergantungan yang semakin meningkat untuk tele­fon bimbit serta tablet, orang ramai kini melakukan lebih banyak transaksi perbankan dalam talian. Transaksi seperti pemindahan dana dan pembayaran bil merupakan tabiat biasa terutamanya golongan belia. Bagaimanapun, masih terdapat segelintir yang tidak memiliki akaun perbankan dalam talian atas alasan tidak percaya kepada teknologi.

5. Penipuan.

Tahukah anda, sepanjang 2017 sahaja, sebanyak 1,428 aduan berhubung penipuan urusniaga dalam talian diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Kes paling popular adalah pengguna membeli barang lain, yang diterima pula barang lain. Contohnya pernah ada kes beli telefon dan yang sampai adalah lesung batu.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) juga meneri­ma aduan yang dianggarkan sebanyak 30,000 sejak 2016 berhubung penipuan di portal jualan dalam talian.

Menurut penganalisis, transaksi digital atau aktiviti beli-belah dalam talian dijangka menjadi budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia menjelang 2020 hingga 2025. Orang ramai membeli pelbagai jenis barang di dalam talian termasuk produk penjagaan kulit, pakaian, makanan sehinggakan perabot.

Kesimpulannya, kita tidak dapat lari daripada arus teknologi ini, justeru, pengguna dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa membuat urus niaga dalam talian antaranya dengan menyemak harga dan rekod penjual. Berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak, tidak kira di gedung fizikal atau maya.