Ramai yang sanggup membuat pelaburan seumpamanya kerana mereka sering meng­anggap itulah sahaja jawapan yang ada bagi mengatasi masalah jualan yang semakin merosot. Nampaknya di mata pihak pengurusan syarikat, pasukan pemasaran dan jualan yang ada masih ‘mentah’ dan tidak mampu untuk memecahkan kepompong.

Lama-kelamaan, syarikat bo­leh lingkup sekiranya masalah ini dibiarkan berlanjutan. Biasanya syarikat yang terburu-buru mengambil langkah ini tidak akan berjaya, kerana beberapa sebab:

Produk yang anda jual yang sebenarnya bermasalah, bukannya pemasaran.

Berdasarkan teori pakar pemasaran dunia Guy Kawasaki, 90 peratus daripada ‘pertempuran’ dalam perniagaan yang akan berjaya ialah syarikat yang dapat memastikan produk atau perkhidmatan yang disediakan mempunyai kualiti menakjubkan.

Sebanyak 10 peratus lagi ialah tentang pemasaran. Saya amat bersetuju dengan teori ini, kerana kalau kita lihat di pasaran, mana-mana produk atau perkhidmatan yang mempunyai kualiti yang terbaik akan boleh terjual dengan ba­nyak walaupun tanpa sebarang aktiviti pemasaran yang berat. Ia akan terjual dengan hanya sedikit sentuhan pemasaran kerana orang pasti akan berce­rita tentang produk ini.

Sikap pengurusan syarikat itu sendiri yang bermasalah.

Lebih separuh daripada syarikat yang saya lihat sendiri ialah mereka mempunyai peruntukan kewangan yang tidak seimbang untuk pemasaran. Syarikat-syarikat ini sanggup mengeluarkan belanja yang amat besar untuk pengeluaran produk tetapi tidak mahu ber­belanja untuk pemasaran.

Memang betul, kualiti pro­duk yang baik akan membuatnya terjual namun ia akan mengambil masa. Lebih besar peruntukan kewangan yang anda boleh laburkan dalam strategi dan aktiviti pemasaran, jangka masa yang diambil akan lebih singkat. Begitu juga sebaliknya, jika bajet yang diper­untukkan kecil maka dengan sendirinya jangka masa yang bakal digunakan akan lebih panjang.

Pengalaman pengguna terdahulu yang tidak baik setelah menggunakan produk anda.

Bagaimana untuk memudahkan jualan apabila pe­ngalaman yang dialami oleh para pelanggan sebelum ini tidak begitu baik dan sering bermasalah. Anda perlu sedar, seseorang akan bercerita kepada orang lain apabila mereka mempunyai pengalaman yang baik setelah menggunakan sesuatu produk atau perkhidmatan yang baik.

Dan khabar angin ini akan ‘bertiup lagi kencang’ sekiranya pengalaman mereka tidak baik atau buruk. Ini amat menyukarkan proses pemasaran dan juga jualan akibat daripada ‘cakap-cakap’ tadi.

Harga yang ditawarkan tidak masuk akal mahal.

Mana-mana pakar pemasaran digital pun tidak akan mampu berbuat apa-apa sekiranya harga produk yang anda tawarkan tidak masuk akal langsung. Memang betul anda menjadikan Apple sebagai idola jenama anda, tetapi mereka mempunyai produk yang mempunyai kualiti dan reka bentuk yang hebat.

Produk anda masih baharu di pasaran dan berada pada tahap ‘merangkak’. Di Malaysia terutamanya, sekiranya anda perhatikan tentang res­pons yang diberikan oleh para pengguna di negara ini, mereka akan memberikan respons yang tinggi sekiranya harga yang ditawarkan adalah berpatutan. Kebanyakan daripada mereka adalah golongan yang berpendapatan sederhana, jadi sudah tentu mereka mempunyai bajet bulanan yang terhad. Jadi, pandai-pandailah untuk menjual produk anda.

Pakar pemasaran yang diambil tadi tidak mahir tentang strategi.

Jika diamati dengan lebih dekat, ramai pakar pemasaran terutamanya digital tidak mahir tentang strategi pemasaran dan pemasaran digital secara keseluruhannya. Mereka le­bih terdedah kepada aktiviti-aktiviti khusus sahaja seperti bagaimana untuk memuat naik status yang baik, penyediaan kandungan video yang berkualiti, cara untuk membuat iklan di media sosial dan sebagainya.

Mereka tidak tahu bagaimana untuk menjawab persoalan yang lebih besar dan kritikal seperti bagaimana orang ramai membuat pembelian, apakah faktor-faktor utama yang membuatkan mereka membeli, kenapa mereka memilih produk daripada jenama ini dan bukan daripada jenama itu.

Apakah yang menyebabkan mereka setia untuk terus kembali datang membeli daripada anda dan bukannya orang lain dan sebagainya. Soalan-soalan strategik ini perlu dijawab terlebih dahulu kerana tanpanya, aktiviti yang dibuat tadi tidak akan mendatangkan hasil.

Walaupun terdapat banyak faktor lain lagi, tetapi kelima-lima ini adalah penyumbang utama kepada masalah jualan produk atau perkhidmatan wa­laupun syarikat anda bercadang untuk mengambil pakar pemasaran digital terbaik dunia sekalipun untuk membantu.

Faktor-faktor ini perlu diubah terlebih dahulu barulah kemelut jualan anda akan dapat diatasi dengan mudah.