Sejak Februari lalu, Jeti Harbour Bay dekat sini yang merupakan terminal baharu beroperasi sejak tahun lalu, menawarkan perkhidmatan feri ulang alik ke Batam sebanyak 32 kali sehari ke Jeti Stulang Laut, Johor Bahru dan Jeti Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Johor.

Kedudukan Harbour Bay lebih dekat dengan Pulau Rempang, Pulau Galang serta Pulau Galang Baru dan jarak terminal itu juga hanya dua jam ke Terminal Kepri Coral sebelum mengambil masa kira-kira 20 minit untuk ke Pulau Pengelap dengan menaiki feri.

Syarikat Ocean Dragon Ferries yang menawarkan perkhidmatan tersebut menyediakan 16 perjalanan pergi balik masing-masing ke dua jeti berkenaan dari 7 pagi hingga 6.30 petang.

Pengurus Pemasaran dan Pe­ngendali syarikat itu, Anthony Tan berkata, perkhidmatan tersebut bukan sahaja bakal mengukuh hubungan tetapi mempromosikan pelancongan di Batam dan Johor.

“Bagi perjalanan dari Batam ke Stulang Laut, Johor Bahru boleh memuatkan 250 penumpang bagi feri besar dan 160 penumpang untuk feri yang kecil sedikit untuk 16 trip sehari.

"Jeti Harbour Day merupakan kawasan strategik dalam kawasan pusat bandar yang mempunyai banyak hotel berdekatan dan mempunyai tarikan pelancongan terutama pulau-pulaunya.

"Selain pulau, Batam merupakan kawasan industri dan terkenal dengan makanan lautnya, tempat hiburan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar di Jeti Harbour Bay baru-baru ini.

Seramai 25 ahli Kelab Media Johor (KMJ) terlibat dalam program selama dua hari yang dibawa melawat ke Jeti Harbour Bay sebelum ke Pulau Pengelap.

Program itu yang melibatkan wakil media cetak dan elektronik dari Johor merupakan usaha pihak pelancongan Batam memperkenalkan Jeti Harbour Bay dan mempromosikan Pulau Pengelap.

Beliau berkata, ketika ini 80 peratus yang menggunakan perkhidmatan feri dari Harbour Bay ke Johor adalah rakyat Indonesia dan daripada jumlah tersebut, 40 peratus adalah mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan di negeri itu.

Anthony Tan yakin menerusi perkhidmatan feri itu, Batam akan menjadi lebih kerap dikujungi lebih-lebih lagi pada tahun 2020 kerana pelbagai kemudahan akan siap termasuk 100 hotel bermula dengan hotel bertaraf dua bintang ke atas. – UTUSAN