Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Claus Weidner berkata, jualan kenderaan meningkat sembilan peratus kepada 13,079 buah daripada 12,045 buah direkodkan pada tahun sebelumnya, melonjakkan perkongsian pa­saran syarikat itu kepada 2.4 peratus daripada 2.3 peratus sebelumnya.

“Usaha kami untuk memantapkan pengalaman jenama kami bagi peminat kami yang kian bertambah dan daripada pelbagai latar belakang telah membuahkan hasil dan kami gembira mendapat kembali kedudukan kami sebagai jenama premium nombor satu di Malaysia,” katanya kepada pemberita pada taklimat syarikat itu mengenai prestasi sepanjang 2018 dan unjuran bagi 2019 di sini baru-baru ini.

Pada Jun tahun lepas, bulan pertama tempoh sifar cukai dilaksanakan berikutan langkah kerajaan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan, MBM mencatatkan jualan tertinggi bulanan dalam sejarah syarikat itu sebanyak 1,750 buah.

Weidner berkata, bidang perniagaan lain juga menca­tatkan peningkatan dengan jumlah kenderaan diservis tahun lepas naik sebanyak 16 peratus daripada tahun sebelumnya kepada 148,800 buah dan pembiayaan dalaman melonjak sebanyak 23 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM2.7 bilion.

“Empat daripada 10 kereta dijual dibiayai menerusi pembiayaan dalaman kami,” katanya.

Lima daripada setiap 10 kereta dijual memperoleh perlindungan insurans menerusi perkhidmatan dalaman syarikat.

Sebanyak 20 model baharu dan dinaik taraf telah dilancarkan tahun lepas untuk melengkapi barisan produk syarikat, katanya.

Dalam pada itu, Weidner berkata, MBM yakin dapat mengatasi prestasi tahun lepas didorong oleh permintaan bagi kenderaan kompak dan utiliti sukan premium, ditambah dengan pendekatan holistik dan strategi berpaksikan pelanggan syarikat.

“Kami juga akan terus menawarkan ciri-ciri baharu dan segar terhadap portfolio model-model kami untuk terus menjadikannya menarik kepada pelanggan,” katanya.

Berhubung jumlah pelancaran bagi tahun ini, beliau berkata ia juga sekitar angka tahun lepas.

Weidner turut mendedahkan syarikat merancang untuk melakukan penstrukturan semula kilangnya di Pekan, Pahang, dalam usaha meningkatkan penggunaan komponen tempatan dan menaik taraf teknologi untuk meningkatkan kecekapan dan kualiti.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah pelaburan bagi penstrukturan semula kilang itu. – BERNAMA