Menurut Kementerian Sumber Manusia, akta berkenaan yang berkuat kuasa pada 10 Februari 1989 bertujuan memberi perlindungan kepada pekerja yang telah dibuang kerja tanpa sebab dan/atau tiada sebab yang munasabah.

Katanya, ia menyediakan hak kepada pekerja untuk memfailkan representasi untuk dikembalikan semula ke kedudukan pekerjaan asal.

Jelas beliau, kajian Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) mendapati terdapat lima sebab utama pekerja dibuang di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan bagi 2009-2018.

“Sebab pertama adalah pemberhentian (30 peratus) merujuk kepada penamatan perkhidmatan kerana pelarasan disebabkan lebihan pekerja.

“Alasan kedua adalah salah laku (26 peratus) merujuk kepada tingkah laku yang tidak wajar seorang pekerja yang dianggap tidak sesuai dan bertentangan dengan peraturan dan etika syarikat,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Sebab ketiga adalah penamatan tanpa sebab (14 peratus) merupakan penamatan melalui notis kontrak atau gaji sebagai ganti secara tanpa sebab.

Keempat, pemecatan konstruktif (enam peratus), tindakan majikan dalam organisasi yang sengaja membuat keadaan kerja dengan pekerja yang bermasalah atau tidak adil supaya pekerja berasa terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka.

Kelima, paksaan peletakan jawatan (empat peratus), kea­daan yang mana pekerja tidak mempunyai pilihan tetapi meletakkan jawatan kerana wujud­nya unsur paksaan atau tekanan daripada majikan.

Alasan lain bersamaan 14 peratus meliputi percubaan, tetap kontrak jangka, peletakan jawatan secara sukarela, kekecewaan kontrak, persaraan, gaji minimum, pelaksanaan persaraan, rasa tidak puas hati terhadap prestasi dan lain-lain.

Kementerian Sumber Manusia komited dalam memastikan majikan mematuhi semua prosedur bagi pemecatan di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Katanya, ini adalah pen­ting untuk mengelakkan sebarang tindakan yang tidak wajar daripada pekerja yang diberhentikan. Majikan perlu mendapatkan nasihat daripada Kementerian sebelum menjalankan pemecatan.

“Majikan dilarang untuk memecat pekerja mereka di­sebabkan isu salah laku sebelum menjalankan siasatan dalaman untuk berlaku adil kepada pekerja.

“Majikan perlu mematuhi semua keperluan undang-undang terutama dalam menyediakan dokumentasi semasa proses siasatan,” katanya.