Pengasas Armani Media Sdn. Bhd., Datuk K.K. Chua berkata, 100MIYE mengiktiraf rakyat Malaysia di bawah 45 tahun yang berjaya dalam industri masing-masing sama ada menerusi model perniagaan inovatif yang menggalakkan atau penampilan di media sosial dan media massa selain daripada kerja-kerja amal dan pencapai­an lain yang dirasakan memberi impak kepada landskap sosial, ekonomi dan perindustrian negara.

Katanya, anugerah yang kali ketiga dianjurkan itu juga turut melancarkan Buku Tahunan 100 MIYE 2018 yang menampilkan seramai 100 orang ikon yang berkongsi 100 idea, inovasi, inspirasi serta video temu ramah di saluran YouTube Entrepreneur Insight.

“Kesemua penerima Anuge­rah 100MIYE pada tahun ini telah membawa perniagaan masing-masing ke arah kecemerlangan, terutamanya melalui pengurusan yang berkesan.

“Mereka juga menggunakan idea-idea inovatif dan kreatif untuk memacu perniagaan mereka untuk berjaya. Mereka patut bangga dengan pencapai­an mereka,” katanya pada Majlis Gala Makan Malam 100MIYE di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd.­ Redzuan Md. Yusof.

Majlis anugerah 100MIYE merupakan anugerah tahunan yang dianjurkan Armani Media, penerbit majalah Property Insight dan Entrepreneur Insight.

Pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas usahanya membangunkan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia dan AirAsia X.

“Beliau juga merupakan tokoh usahawan terkemuka yang dikenali di seluruh dunia,” kata Chua.

Antara penerima lain bagi 100MIYE tahun ini termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar, Fattah Amin, Joel Neoh dan Shila Amzah.