Di sini disediakan 10 formula kreatif yang boleh anda teliti, fikirkan rasionalnya untuk bisnes anda, seterusnya me­ngukuhkan strategi pemasaran yang ada.

1. Penulisan kini bukan lagi satu kepakaran yang dianggap mewah tetapi keperluan. Komunikasi yang lebih jelas amat penting dalam sesuatu pemasaran.

Komunikasi yang jelas juga akan dapat membezakan sama ada jenama anda adalah satu jenama yang kecil ataupun mampu dilihat sebagai satu jenama yang setanding dengan jenama-jenama besar. Semua­nya dengan penulisan yang berkualiti untuk kandungan-kandungan yang dibina.

2. Lebihkan fokus kan­dungan digital anda kepada lima perkara yang pengguna utamakan. Kelima-lima ini menyumbang kepada trafik pengunjung internet yang besar kepada laman-laman web yang biasanya akan bertukar menjadi jualan.

Buatkan kandungan digital dan kongsi tentang kos, masalah, perbandingan, maklum balas atau review dan akhir sekali penarafan atau rating. Mesti laku.

3. Selain daripada penulisan artikel yang panjang, para pengguna juga mahukan penulisan yang pendek, mudah dan pantas dibaca yang boleh diselesaikan dalam masa tiga hingga empat saat di mana sahaja.

Sebab itu petua ringkas sebagai status media sosial biasanya mendapat penularan yang tinggi kerana manfaatnya kepada pembaca. Petua ringkas juga membantu menaikkan pengikut media sosial anda.

4. Semasa anda merangka strategi pemasaran untuk tahun 2018, jangan terlalu taksub dengan trend masa kini dan apa yang akan berlaku nanti.

Anda boleh perhatikan trend yang dibincangkan tetapi jangan sesekali mengikut cakap orang. Berhati-hati de­ngan ini kerana ia biasanya akan melibatkan pembelian sesuatu perisian atau tool yang anda tidak begitu perlukan. Itu sahaja.

5. LinkedIn kini menjadi landasan penting kepada golo­ngan usahawan dan freelancer yang gemar berkongsi kandu­ngan yang dibina dan juga penulisan blog.

Kebanyakan daripada golo­ngan ini berpendirian bahawa LinkedIn amat membantu mereka dalam mengembangkan lagi penjenamaan diri dalam usaha membina keyakinan bakal pelanggan terhadap keupayaan yang mereka ada.

Bagi usahawan-usahawan ini, keyakinan mereka untuk mendapat kontrak adalah jauh lebih tinggi berbanding Facebook, Twitter dan sebagainya.

6. Dahulu menghantar proposal demi proposal dalam pencarian projek adalah mencukupi untuk menang.

Kini tidak lagi. Dengan iklim politik dalaman sesebuah organisasi korporat yang tidak menentu, dengan saing-me­nyaingi berlaku dan juga penggunaan ‘kabel’ yang berleluasa, strategi menghantar proposal kini sudah lapuk dan tidak boleh digunakan lagi.

Kaedah penggunaan Pemasaran Aliran Masuk atau Inbound Marketing jauh lebih berkesan dalam era internet ini. Pemasaran Aliran Masuk ialah satu kaedah yang membuatkan orang membeli tanpa menjual.

7. Amat menyedihkan apabila melihat ramai usahawan yang berada di media sosial melakukan aktiviti pemasaran mereka tanpa sebarang strategi.

Mereka menyelit semua aktiviti media sosial di antara waktu melakukan kerja-kerja lain yang dianggap lebih pen­ting. Jadi, mereka melihat pemasaran di media sosial ini sebagai sampingan sahaja. Tapi, bila tiada hasil jualan pandai pula merungut dan menyalahkan media sosial kerana tidak bagus.

8. Terdapat banyak taktik pemasaran digital di luar sana, anda cuma perlu mencuba hampir kesemuanya terlebih dahulu.

Kemudian lihat hasil daripada setiap satu saluran yang dicuba tadi. Pasti dua atau tiga kaedah akan lebih mendatang­kan hasil berbanding yang lainnya. Jelas daripada sini anda cuma perlu fokus kepada saluran yang berhasil tadi dan lupakan mana yang tidak berjaya.

9. Menurut MarketingSherpa, sebuah blog pemasaran digi­tal yang terkenal di Amerika Syarikat, terdapat enam format pengiklanan pemasaran tradi­sional yang mendapat tumpuan banyak jenama besar.

Mereka masih lagi menggunakannya untuk tujuan promosi. Keenam-enam format itu adalah media cetak, televisyen, radio, penghantaran surat secara terus, papan tanda dan iklan cetak di dalam kedai. Ini menunjukkan bahawa pemasaran tradisional masih lagi pen­ting.

10. Pengalaman para pelanggan anda amat penting. Pastikan ia satu pengalaman yang manis melebihi jangkaan mereka ketika sebelum pembelian itu dibuat.

Sekiranya pengalaman ter­se­but baik, maka bersiap sedia untuk mendapatkan lebih ramai lagi pelanggan hasil daripada penularan ‘mulut-ke-mulut’ yang baik yang anda akan terima daripada pelanggan tadi.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau di azleen.com