Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, sepanjang tempoh program Pra-Q pada 29 dan 30 Mei lalu, sebanyak 1,321 penyertaan diterima oleh kontraktor utama ECRL, China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) daripada syarikat-syarikat berdaftar CIDB.

Katanya, syarikat pembinaan gred G7 CIDB mendahului gred-gred lain dengan penyertaan sebanyak 859 syarikat atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran, diikuti kategori Gred G5 dengan 134 penyerahan dan kategori Gred G4 dengan 132 penyerahan manakala baki daripada Gred G3 dan Gred G6 dengan 104 penyerahan dan 92 penyerahan.

“Kami berharap projek ECRL akan menjadi contoh projek kerajaan yang dapat memaparkan keupayaan kontraktor tempatan bekerjasama dengan kontraktor antarabangsa dalam me­laksanakan dan memenuhi piawaian tinggi projek infra berskala besar.

“Dengan penyertaan kontraktor tempatan, ia tidak hanya bertindak sebagai rangsangan kepada sektor pembinaan tempatan tetapi juga sebagai pemangkin dalam pemindahan pengetahuan dan teknologi memandangkan ECRL adalah antara projek kejuruteraan dan pembinaan paling mencabar di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Program penyerahan dokumen Pra-Q ECRL selama dua hari itu merekodkan penyertaan sejumlah 994 syarikat kejuruteraan dan pembinaan bumiputera yang mewakili 75.25 peratus daripada jumlah keseluruhan pendaftaran.

Bilangan penyertaan yang menggalakkan dalam program Pra-Q itu juga, katanya, secara tidak langsung menzahirkan soko­ngan berterusan terhadap projek ECRL yang telah ditambah baik dengan jajaran relnya merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya.

“MRL, sebagai pemilik ECRL, amat menggalakkan industri pembinaan tempatan untuk proaktif dalam merebut sebarang peluang menyertai projek ECRL bukan hanya sebagai kontraktor tetapi juga sebagai pembekal, perunding dan skop kerja berkaitan yang lain.

“Adalah menjadi harapan kami agar kontraktor tempatan dapat memainkan peranan mereka dan menunjukkan keupayaan, pengetahuan teknikal dan menawarkan perkhidmatan mereka secara kompetitif,” kata Darwis.

Sementara itu, Pengarah Urusan China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd., Bai Yinzhan berkata, pihaknya berharap kontraktor-kontraktor tempatan akan memanfaatkan pemindahan pengetahuan dan teknologi yang secara langsung akan memaksimumkan kesan komersial pelaburan kerajaan Malaysia.

Dalam masa sama, katanya, ia juga memberi fokus kepada peningkatan daya saing dan kualiti produk serta perkhidmatan industri pembinaan Malaysia.

“MRL akan bekerjasama rapat dengan CCCC dalam proses penilaian dan penyenaraian pendek syarikat yang berpotensi bagi pakej kerja sivil ECRL. Keputusan Pra-Q bagi syarikat-syarikat yang berjaya disenarai pendek pula akan dimaklum secara bertulis oleh CCCC,” katanya.