Kajian yang dibuat mendapati terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pasangan memilih untuk kahwin lari di Thailand.

Antaranya:

1 Ayah perempuan sebagai wali tidak menerima calon lelaki dan tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut, maka pasangan yang sudah suka sama suka itu lari ke Thailand bagi mengelakkan proses mendapatkan kebenaran wali hakim dari mahkamah syariah.

2 Keluarga lelaki tidak menerima calon perempuan. Contohnya dianggap tidak layak oleh keluarga si lelaki, jadi untuk mengelakkan daripada bertelagah dengan keluarga, maka pasangan itu memilih Thailand.

3 Poligami iaitu suami ingin menyembunyikan perkahwinan kedua, ketiga atau keempat daripada diketahui ramai, terutama isteri sedia ada. Apabila isteri tidak mengetahuinya, maka suami beranggapan ia dapat mengelakkan pergaduhan atau perceraian.

4 Kahwin poligami dengan niat ingin lari daripada proses undang-undang.

5 Enggan melalui kesulitan meminta kebenaran mahkamah untuk berpoligami dan perlu membuktikan pelbagai perkara menunjukkan kemampuannya berpoligami.

  •  Ramai mendakwa untuk mendapatkan kebenaran mahkamah mereka perlu menyediakan banyak kos dan proses yang ketat.
  • Semuanya memakan masa yang lama, maka lari ke Thailand merupakan jalan pintas untuk menyelesaikan masalah.

MEMPUNYAI PERUNTUKAN KHUSUS

Sebenarnya undang-undang keluarga Islam di negara kita mempunyai peruntukan khusus mengenai persetujuan wali untuk menikahkan anak walinya. Begitu juga dengan kebenaran menggunakan wali hakim bagi seseorang perempuan.

Ini secara tidak langsung melibatkan isu izin wali dan kaitannya dengan nikah lari ke Thailand.

Enakmen Undang-undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 dalam Seksyen 13 memperuntuk antara lain, sesuatu perkahwinan tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan kecuali selepas hakim syarie memberi kebenaran menggunakan wali raja atau disebut wali sultan bagi seseorang wanita.

Hakim mahkamah syariah boleh memutuskan kebenaran menggunakan wali hakim apabila permohonan dibuat oleh pihak wanita yang terlibat.

Ini boleh terjadi dalam beberapa keadaan seperti:

1 Wanita yang tidak mempunyai wali nasab/keturunan

  •  Mungkin berlaku dalam kes anak perempuan tunggal, ayahnya juga mungkin anak tunggal dan tiada sebarang saudara lelaki lain.
  •  Apabila ayah dan datuk (sebelah ayah) meninggal dunia dan tiada saudara lelaki daripada sebelah ayah, maka ketika itu dia berada dalam keadaan tiada wali nasab.
  •  Kebenaran untuk menggunakan wali hakim perlu dipohon dari mahkamah syariah.

2 Anak perempuan 
tidak sah taraf

  • Sama ada kerana ibunya berzina atau dirogol, maka anak-anak tersebut juga tidak mempunyai wali nasab.
  •  Nasab mereka hanyalah kepada ibu sahaja.
  •  Dalam keadaan ini, mereka semua perlu memohon untuk menggunakan wali hakim dalam pernikahan mereka.

3 Wali nasab tidak 
dapat ditemui

  •  Contohnya seorang perempuan berpindah mengikut bapa atau ibu angkat semasa kecil dan tidak tahu di mana keluarga asal sebelah bapanya tinggal.
  •  Atau pihak perempuan berada di Malaysia tetapi semua keluarga sebelahnya berada di negara lain yang tidak diketahui secara pasti.
  •  Ketika ini menggunakan wali hakim adalah jalan keluar untuk mereka.

4 Seorang perempuan yang masih mempunyai bapa kandung tetapi bapanya enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab munasabah.

  •  Wanita tersebut boleh memohon ke mahkamah syariah untuk mendapat kebenaran menggunakan wali hakim.

Amalan biasa di mahkamah syariah sekarang ialah apabila seorang perempuan memohon menggunakan wali hakim atas sebab wali atau bapa enggan menikahkannya, maka wali tersebut akan dipanggil untuk diketahui alasan mereka.

Dengan cara ini dapat dipastikan alasan keengganan tersebut munasabah atau sebaliknya.

Jika alasannya tidak munasabah di sisi syarak, maka hakim syarie boleh memerintahkan wali tersebut mewalikan pernikahan atau mengeluarkan perintah wali hakim.

Proses inilah yang cuba dielakkan oleh pasangan yang lari ke Thailand, atas alasan ia menyusahkan pasangan yang ingin berkahwin.

Pendapat BERBEZA

Terdapat dua pendapat berbeza dalam menangani perkara ini, iaitu:

1 Kerajaan perlu mengetatkan undang-undang melibatkan nikah lari ini dengan cara mewujudkan polisi pentadbiran yang tidak membenarkan pernikahan sebegini didaftarkan.

  •  Ia boleh menakutkan pasangan yang bakal bernikah di Thailand.
  •  Dikatakan bahawa peruntukan menghendaki mereka mendaftarkan perkahwinan dan membayar denda sekitar RM1,000 sahaja tidak mempunyai kesan menggerunkan kepada perlanggaran undang-undang.

2 Bagi yang berpendapat sebaliknya meminta agar undang-undang sedia ada dilonggarkan bagi mengelakkan bakal pasangan menikah di Thailand.

Melihatkepada isu ini yang semakin panas dan statistik pasangan bernikah di Thailand semakin tinggi, sudah sampai masanya kita mencari jalan penyelesaian munasabah untuk kebaikan semua.

Sediakan ruang supaya pasangan yang menghadapi masalah keizinan wali ini hanya perlu berjumpa jawatankuasa mediasi dan keputusannya disahkan di mahkamah.

Jawatankuasa ini boleh memanggil kesemua pihak terlibat untuk duduk berbincang secara baik sebelum permohonan wali hakim diketengahkan.

Jika seorang anak luar nikah yang ingin memohon wali hakim, atau seorang perempuan yang memeluk Islam, maka amatlah wajar mereka hanya perlu berjumpa jawatankuasa mediasi sahaja.

Apabila mana-mana orang yang menghadapi masalah wali melihat mahkamah menggunakan pendekatan berhemah dan menjaga keaiban daripada terdedah dalam perbicaraan terbuka, mereka akan lebih berminat untuk ke mahkamah syariah berbanding mengambil tindakan lari ke sempadan. Ia sekali gus dapat mengekang statistik yang sentiasa naik berkaitan dengan kes kahwin lari ke sempadan oleh rakyat Malaysia.