Pelancaran jentera dua roda yang pertama kali dipamerkan kepada umum di Pertunjukan Motor Tokyo di Jepun tahu lepas, disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Kehadiran Z900 RS yang diimport sepenuhnya dari Jepun itu ternyata membuktikan komitmen Kawasaki Motors Malaysia Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) kepada peminat motosikal retro yang kini semakin digilai.
Reka bentuk Kawasaki Z900 RS itu sebenarnya diambil pada motosikal retro Kawasaki Z1 yang dikeluarkan pada tahun 1970 namun kini dipadatkan dengan pelbagai teknologi terkini sesuai dengan penggunaannya.
Pengerusi Eksekutif Kawasaki Malaysia, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya dalam ucapan alu-aluannya berkata, kehadiran Z900 RS itu merupakan hasil pemerhatian pihaknya terhadap permintaan industri di Malaysia.


Video oleh MOHD. HAZLI HASSAN

Menurut beliau, peminat motosikal Malaysia ketika ini mempunyai minat untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi namun dengan reka bentuk yang unik dan retro klasik merupakan salah satu genre yang sedang meningkat naik.
“Motosikal merupakan ekspresi diri pemiliknya dan kita melihat minat ini semakin berkembang maka atas dasar itulah, kita membuat keputusan untuk membawa masuk Z900 RS ke pasaran Malaysia.
“Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, peminat motosikal dilihat lebih berhati-hati untuk membeli motosikal baharu agar tidak kecewa, jadi Z900 RS ini merupakan salah satu jaringan model Kawasaki yang menjadi minat kepada pelbagai golongan sasar,” katanya pada majlis pelancaran Z900 RS dan jamuan Tahun Baharu Cina Kawasaki Malaysia di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong; Ketua Setiuasaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Jamil Salleh; Pengurus Syarikat Motosikal dan Enjin Kawasaki Heavy Industries Ltd, Jepun, Naoki Kawaguchi; Pengarah Kawasaki Malaysia, Datin Katrina Abdullah dan Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Datuk Jeffrey Lim.
Kawasaki Z900 RS yang diimport sepenuhnya dari Jepun itu didatangkan dengan dua varian iaitu edisi khas dengan harga dari RM69,900 dan varian standard (RM67,900) termasuk cukai barangan dan per­khidmatan (GST).

kawasaki z900 rs
Z900 RS sesuai untuk ditunggang oleh semua golongan.

Dalam pada itu, Kawaguchi berkata, dalam reka bentuk motosikal baharu Kawasaki, pihaknya sentiasa menitik beratkan konsep ‘Menunggang dengan riang’, ‘Mudah ditunggang’ dan ‘Penjagaan alam sekitar’.
“Jadi Z900 RS yang anda lihat hari ini mengguna pakai ketiga-tiga konsep berkenaan walaupun saya diberitahu motosikal retro masih belum mendapat sokongan padu daripada pengguna di Malaysia.
“Namun kami tidak mahu ketinggalan, dan kehadiran Z900 RS ini bakal memberikan impak yang tinggi terhadap minat reka bentuk retro yang dilihat semakin digilai di seluruh dunia,” katanya.
Sebagai rekod, Z900 RS ini dibangunkan menggunakan plaform Kawasaki Z900 namun diubah daripada segi kosmetik dengan menawarkan reka bentuk retro.

Kawasaki z900 rs
Reka bentuk retro yang semakin digilai peminat motosikal berkuasa tinggi. 

Walaupun reka bentuknya klasik seperti tangki motosikal tahun 70-an serta lampu dan dua meter bulat, Z900 RS dikuasakan dengan enjin sejukan cecair 948cc dengan daya kilas yang tinggi walaupun ketika kelajuan enjin rendah.

KAwasaki Z900 RS
DIJUAL dengan harga dari RM67,900 (termasuk GST) melalui dua varian.

Perubahan turut dilakukan pada nisbah gear di mana gear lima lebih pendek manakala nisbah pada gear enam dipanjangkan bagi memberikan kelancaran dan mengurangkan gegaran ketika perjalanan jauh.

KAWASAKI Z900 RS
LAMPU bulat menyerlahkan reka bentuk klasik pada Z900 RS.