Jawapannya hampir sama, tetapi ada yang berbeza. Dalam­annya hampir serupa kecuali tenunan pada kerusi penum­pang hadapan dan pemandu de­ngan tulisan Perdana. Kerusi pula dibaluti kulit berwarna beige dengan kontur yang selesa.

Papan pemukanya pula sama sahaja dengan Accord iaitu dua tona coklat gelap di atas dan di bawah pula seperti warna kuning cerah. Kombinasi warna kerusi dan papan pemuka menghasilkan suasana dalaman yang ceria dan mewah.

Dengan kata lain, memasuki ruang dalamannya, sudah terasa selesa dan kelihatan luas hasil de­ngan mainan warna dalam kabin.

Cuma penulis agak musykil dengan dua skrin pada papan pemuka. Satu skrin adalah untuk info seperti radio, navigasi dan info. Tetapi skrin di sebelah atas tidak selari dengan skrin sebelah bawah.

Tetapi luarannya amat berbeza. Ada persamaan pada garisan ae­rodinamik pada sisi pintu Accord. Tetapi wajah hadapannya agak berbeza dengan lampu utama bersambung garisan berwarna perak pada atas bampar dengan logo kepala harimau.

Lampu utama pula menggunakan projektor HID signatur Proton dengan reka bentuk yang berbeza berbanding lampu utama Accord generasi kelapan. Lampu belakang pula ialah LED yang kelihatan sedikit berbeza dengan Preve. Hasilnya, lampu depan dan belakang memberi pencahayaan yang jelas pada waktu malam.

Fizikalnya hadapannya agak memanjang yang ditarik sehingga ke belakang. Sekali lalu pada bahagian belakang kelihatan seperti model Jaguar XJ. Secara peribadi penulis berpendapat Perdana 2.4 Premium ini agak panjang hingga menggusarkan perasaan jika mahu meletakkannya di kawasan parkir awam.

Seperti penulis katakan tadi, walaupun acuannya Accord, tetapi jurutera Proton berjaya memberi sentuhan baharu pada model ini. Walaupun perbezaan yang sedikit pada tanggapan peminat kereta, tetapi masih jelas ada perbezaannya.

Mengujinya pula, ada pera­saan bercampur-campur. Ada­kah perasaannya sama se­perti sebuah Perdana V6 yang merupakan model terkenal dilahirkan oleh Proton atau sebuah Perdana baharu yang menggunakan acuan Honda?

Perdana 2.4L ini menggunakan talaan enjin dan transmisi Accord 2.4L. Prestasinya seperti sebuah kereta keluarga yang sentimental, tetapi boleh memecut jika perlu. Enjin empat silinder menghasilkan kuasa maksimum 178hp pada 6,500rpm manakala kuasa kilas 222Nm pada 4,300rpm.

Ketika mengujinya di Le­buhraya Kuala Lumpur-Karak, sejujurnya Perdana ini agak me­ngujakan. Senyap dan berkuasa. Ketika menekan mi­nyak secara agresif, deruman enjin tidak terlalu bising memasuki ruang kabin, tetapi terasa sedikit berat. Seolah-olah memerlukan masa untuk laju.

Sterengnya pula agak ringan. Bimbang juga jika memandu dalam keadaan laju kerana tiada perbezaan semasa memandu secara perlahan ataupun laju.

Suspensinya agak lembut yang sesuai dengan sebuah kereta keluarga. Di jalan yang rata, memang seronok terutamanya kepada penumpang. Mereka bo­leh tidur dengan nyenyak. Cuma apabila melalui jalan yang tidak rata kerana bimbang akan berlaku hentakan yang kuat.

Walaupun suspensi agak lembut, tetapi cengkaman tayar agak responsif. Difahamkan Honda tidak membenarkan pe­ngubahsuaian talaan suspensi. Ini menyebabkan jurutera Proton membangunkan sendiri ta­yar dengan pengeluar OEM Go­odyear. Hasilnya, keyakinan yang tinggi untuk melayan selekoh di lebuh raya itu.

Secara keseluruhan­nya, Perdana 2.4L Premium ini sebenarnya tidak menghampakan. Walaupun per­sepsi agak tinggi pada mulanya, tetapi ia masih berbaloi. Dengan masa yang agak singkat, jurutera Proton berupaya menghasilkan sebuah Perdana dengan imej tersendiri.

Ya, walaupun sama dengan Accord, tetapi masih berbeza.