Tidak keterlaluan jika dikatakan model ini lebih tinggi berbanding pesaing terdekatnya ia­itu Perodua Alza. Jarak kelegaan antara badannya dengan tanah juga agak tinggi iaitu 185 mm yang menjadikan Proton Ertiga mudah mengharungi bonggol yang banyak di kawasan perumahan di Kuala Lumpur.

Sudah menjadi lumrah, keganjilan kadang-kala menghasilkan keunikan. Walaupun luarannya agak kurang memberangsangkan, tetapi dalamannya pula sangat berbeza. Penulis boleh katakan dalamannya sangat menawan dengan mainan warna kuning cerah yang menjadikannya kelihatan luas.

Proton Ertiga Executive Plus AT menampilkan papan pemuka agak ringkas tetapi diadunkan dengan dua tona warna. Kerusi fabrik kuning berjalur agak panjang hingga mampu menampung kaki. Ini menjadikan pemandu dan penumpang tidak letih da­lam perjalanan yang jauh.

Ruang kaki penumpang di barisan tengah boleh dilaraskan dan kerusinya pula boleh direbahkan bersama kerusi penumpang baris ketiga untuk ruang kargo yang lebih besar. Ruang kaki untuk penumpang tengah juga agak selesa.

PENGUNAAN warna cerah menghasilkan suasana tenang di dalam kabin.

PENGUNAAN warna cerah menghasilkan suasana tenang di dalam kabin.

Malangnya ruang untuk meletakkan air atau barangan kecil di konsol tengah barisan hadapan agak terhad. Port USB hanya satu yang mana terpaksa berkongsi untuk mengecas telefon pintar dan juga untuk muzik. Kecuali anda membeli port USB baharu yang boleh diletakkan di lubang sebelahnya.

Proton Ertiga yang sebenarnya adalah model Suzuki hasil daripada perjanjian yang membolehkan perkongsian produk dilaksanakan terutamanya da­lam segmen kompak.

KERUSI barisan dua dan tiga yang boleh direbahkan mewujudkan ruang kargo yang besar.

KERUSI barisan dua dan tiga yang boleh direbahkan mewujudkan ruang kargo yang besar.

Oleh itu ciri-cirinya sangat berbeza dengan model Proton yang sebenar. Statusnya sebagai MPV kompak pertama yang mendapat status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) merupakan cirinya yang paling hebat.

Sebagai sebuah model Jepun, pemanduannya agak berbeza dengan model-model Proton yang sebenar. Digerakkan de­ngan enjin 1.4 liter VVT, ia menghasilkan karektor pemanduan yang lembut dan bersifat kekeluargaan. Maksudnya kuasa untuk memecut tidak tersentak dan tukaran gear pula mudah. Cuma stereng kuasa elektrik Rack & Pi­nion Motion boleh disifatkan agak berat untuk MPV kompak ini.

Walaupun kapasiti enjin agak kecil, tetapi ia masih mampu mendaki Genting Highland de­ngan enam penumpang dewasa tanpa sebarang masalah dan tanpa bau hangit brek.

PANEL meter agak ringkas tetapi lengkap.

PANEL meter agak ringkas tetapi lengkap.

Sistem suspensi hadapan jenis MacPherson Strut with Coil Spring dan Torsion Beam with Coil Spring di belakang mampu menyerap gegaran pada jalan yang tidak rata.

Dengan saiz tayar 15 inci membolehkan ia lancar di lebuh raya dan mampu mengekalkan kelajuan sehingga 140 kilometer sejam (km/j) tanpa gegaran dan bunyi angin yang kuat memasuki kabin.

Walaupun agak tinggi dan kecil, ia masih mudah dikawal di laluan berselekoh pada kelajuan 100 km/j ketika penulis me­ngujinya di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak. Ertiga yang dipasang dengan Sistem Brek Antikekunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD) memberi kesan psikologi yang positif untuk ‘membelasah’ jentera ini.

Sebagai sebuah MPV EEV, penggunaan minyaknya adalah 5.7 liter per 100 kilometer (km) untuk model manual manakala 6 liter per 100km untuk model automatik.

ENJIN EEV 1.4 liter.

ENJIN EEV 1.4 liter.

Ia boleh disifatkan model yang menjimatkan untuk pemanduan yang santai. Tetapi untuk pemanduan yang agresif, rasanya penggunaan minyaknya akan le­bih lagi.

Sebagai sebuah MPV kompak, ia menepati ciri-ciri keluarga yang sederhana di bandar-bandar besar. Kerusi baris ketiga yang boleh direbahkan ditambah de­ngan kerusi baris kedua adalah sesuai untuk membawa hasil kampung ke kota pada cuti-cuti perayaan.

Malah dalam keadaan kecemasan yang boleh membawa enam hingga tujuh penumpang dewasa, Ertiga boleh menjadi pilihan kepada warga kota dan desa yang mahukan sebuah kereta bercirikan Jepun daripada Proton.