Menurut agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia itu, dengan pelantikan itu, HRDF berharap dapat melaksanakan enam pelan tindakan termasuk membawa individu yang terlibat dalam penyelewengan di agensi itu ke muka pengadilan pada tahun ini.

Datuk Noor Farida Mohd. Ariffin
 

“HRDF akan meneruskan siasatan dalamannya yang telah bermula sejak Julai 2018 untuk memastikan pihak-pihak yang berkenaan, termasuk penyedia latihan, pelatih dan kakitangan yang telah melakukan penyelewengan didakwa ke muka pengadilan,” kata agensi itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, HRDF turut berhasrat dapat memperkukuh pelaksanaan penguatkuasaan Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001; memberi latihan kepada 1.2 juta pekerja tempatan; menyediakan graduan yang siap sedia untuk bekerja; meningkatkan kualiti penyedia latihan dan pelatih profesional serta menuju ke arah menjadi majikan pilihan sepanjang tahun ini.

Tambah agensi itu lagi, Farida yang juga aktif dalam kumpulan individu Melayu profesional dikenali sebagai G25 dipilih berdasarkan kredibilitinya sebagai bekas penjawat awam yang disegani serta dipercayai dapat memacu HRDF ke arah penambahbaikan.

“Datuk Farida mempunyai perjalanan kerjaya yang tersohor dalam perkhidmatan awam merangkumi lantikannya sebagai hakim, penasihat undang-undang serta diplomat, terutamanya sebagai Duta Malaysia ke Belanda.

“Sejak persaraan beliau daripada Kementerian Luar pada 2012, beliau telah melibatkan diri secara proaktif dalam pelbagai aktiviti termasuk sebagai Ketua Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang di Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia dan pemegang amanah untuk Women’s Aid Organisation (WAO),” katanya. - UTUSAN ONLINE