Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam berkata, forum tersebut meneruskan usaha dalam menumpukan kepada pemain kecil, usahawan baharu bermula untuk meluaskan atau meningkatkan perniagaan berbanding forum antarabangsa lain yang lebih kepada pemain besar.

"Kita berjaya meyakinkan komuniti perniagaan untuk datang ke WIEF, seperti saya dan anda fikirkan yang mana berbaloi untuk disertai.

"Selain itu, kita mengambil pendekatan penyelesaian sesuatu perkara dari peringkat bawah ke atas berbanding dari atas ke bawah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Bagi Pemain Utama sempena WIEF di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Pengerusi Bersama WIEF Ke-13 mewakili Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan e-Dagang, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Hadir sama, Setiausaha Agung WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah juga dibuat atas cadangan Abang Johari sendiri ketika beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri menghadiri WIEF Ke-12 pada tahun lalu.

"Sarawak juga merupakan negeri yang paling berwarna dengan kepelbagaian kebudayaan di seluruh negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, kerajaan negeri menghargai peluang diberikan untuk menjadi tuan rumah kepada WIEF yang mengumpulkan speaker dan delegasi dalam dan luar negara menukar idea dan pengalaman.

"Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari sedang bergerak ke arah ekonomi digital bagi melonjak negeri ini menjadi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Langkah strategik dan visi ini yang akan membawa kemakmuran kepada Sarawak ke tahap pembangunan yang berikutnya," ujarnya ketika membacakan teks ucapan Abang Johari.-UTUSAN ONLINE