UKE: Bukankah perkataan paling baik ialah ‘tiada tuhan melainkan Allah’. La ilaha illallah sebagai kalimah syahadah dipanggil tahlil. Ulama-ulama dahulu menjadikan amalan bertahlil ini sebagai zikir harian kerana berzikir ini disuruh oleh agama.
 Ini adalah amalan tinggalan ulama sebagai amalan tambahan mereka maka tidaklah salah kepada kita hendak bertahlil berapa ribu sekalipun. Setiap amalan zikir ada pahalanya. Ulama dahulu menjadikan berzikir sebagai amalan perseorangan mereka. Maka tiadalah timbul hadis sahih atau daif kerana dibuat semata-mata amalan berzikir sahaja dan sepatutnya tidak perlu jadi perbalahan.


Persoalan tentang Syiah

Adakah pengikut Syiah masih dianggap sebagai Islam sedangkan mereka solat tiga kali waktu sehari dan menuduh sahabat Nabi SAW sebagai kafir?
Baharudin Ali, Sik.

UKE: Apa jua kefahaman dan ajaran yang bercanggah dengan Islam sudah pastilah ditolak. Siapa pun yang berkata solat tidak wajib maka hukumnya adalah kafir. Begitu juga apabila dihina kepada Nabi SAW adalah boleh merosakkan akidah. Ini termasuk menghina dan mengkafirkan sahabat baginda SAW. Sesiapa pun yang mempunyai akidah yang bercanggah dengan yang sebenarnya, maka tertolaklah akidah songsangnya itu.
 Berkenaan Syiah pula, mereka mempunyai pelbagai aliran dan sekte. Nak terang panjang lebar di sini memang tak cukup ruang. Tetapi memadailah dengan menolak semua fahaman yang bercanggah dengan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.


Tinggalkan suami

Saya ada masalah rumah tangga dan telah keluar rumah meninggalkan suami setahuh lebih. Saya berbuat demikian kerana saya tidak mampu lagi menanggung penderaan suami terhadap saya. Saya telah pergi mengadu ke pejabat agama dan saya diminta menuntut fasakh di mahkamah syariah. Tapi saya tak pergi dan suami pun tak mencari saya. Apakah talak jatuh dengan sendiri jika saya tak menuntut fasakh dan tak balik ke pangkuan suami?
Mak Uda, Batu Pahat.

UKE: Akak tak boleh buat macam ini, bila nak selesai masalah? Pergilah ke mahkamah syariah sebagaimana yang dianjurkan. Yang menentukan jatuh atau tidak talak ialah pihak mahkamah. Insya-Allah nanti semua selesai.


Risau pijak bekas tapak kaki anjing

Anjing liar kerap lalu di depan rumah saya. Laluan anjing juga laluan saya ke kereta saya yang diletakkan di luar rumah kerana masalah ruang. Sekiranya laluan basah dan anjing melaluinya, perlukah saya sertu kasut yang dipakai dan ruang memandu (dalam kereta) yang saya pijak?
Bagaimana jika hujung pakaian saya tersentuh kasut atau tempat pijak kaki ketika memandu?
Musykil, Selangor.

UKE: Setakat bekas tapak kaki anjing baik di jalanan atau di padang, maka janganlah digusarkan. Alam, tanah, air dan hujan menyucikannya secara semula jadi.