Namun gaya hidup sihat, yang berkait dengan aktiviti kecergasan tidak berkembang seiring dengan tahap kesejahateran sosial yang lain, dan pelbagai usaha digerakkan termasuk oleh pihak berkuasa untuk membudayakan amalan itu dalam kalangan masyarakat.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mulai mengerakkan satu lagi langkah ke arah menyediakan persekitaran lebih kondusif buat warganya melakukan aktiviti kecergasan.

Enam laluan di pusat bandar raya ini sejauh kira-kira 6.5 kilometer (km) akan dijadikan zon rendah karbon iaitu meliputi Batu Burok, Kampung Cina, Jalan Sultan Ismail, Pulau Warisan, Jalan Tok Lam dan Paya Bunga Square.

Pemangku Datuk Bandar Samiun Salleh, berkata, laluan itu akan ditutup kepada semua kenderaan selama empat jam mulai pukul 7 pagi hingga 10 pagi setiap Sabtu yang dicadangkan berkuat kuasa mulai minggu pertama Oktober ini.

“Inisiatif baharu itu diper­kenalkan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga bandar raya dan mendi­dik masyarakat serta pelancong menggunakan basikal sebagai pi­lihan pengangkutan di pusat bandar fraya,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Perkhidmatan Perkongsian Basikal Tanpa Stesen (oBike) di Dataran Batu Burok, di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, lebih 300 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan MBKT, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta warga bandar raya ini menyertai kayuhan sejauh kira-kira 6.5 km.

Turut menyertai kayuhan berbasikal ialah Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Suffian Sulaiman dan Pegawai Perniagaan oBike, Ng Yong Ching.

Samiun yang juga Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti kaedah terbaik termasuk memperkenal laluan basikal dan jalan alternatif bagi mengelak pemilik kenderaan menggunakan lokasi sama ketika program itu diadakan.

Katanya, oBike diperkenalkan selaras visi kerajaan pusat dan negeri bagi mengurangkan penggunaan kenderaan dan meminimumkan kadar pelepasan karbon untuk memelihara alam sekitar.

“Hasil kerjasama dengan oBike, MBKT tidak mengeluarkan peruntukan terutama untuk menyediakan sebanyak 1,200 basikal di bandar raya ini, sebaliknya kemudahan itu disediakan syarikat berkenaan,” katanya.