Mohamed Khaled
Mohamed Khaled

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, meskipun kerajaan negeri tidak menawarkan sebarang insentif kepada pelabur, namun mereka tetap menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan utama untuk mengembangkan per­niagaan.

“Kerajaan negeri tidak beri apa-apa insentif kerana biasanya insentif untuk menarik pelabur diberikan oleh pihak kerajaan Pusat. Mereka membuat keputusan untuk melabur di Johor kerana beberapa faktor, termasuklah kerajaannya yang stabil dan pro perniagaan,” katanya menjawab soalan Norshida Ibrahim (BN-Buloh Kasap) pada sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata, faktor lain yang mendorong pelabur terus kekal di negeri ini kerana kos perniagaan yang lebih kompetitif, iaitu 60 peratus lebih rendah berbanding Singapura dan 30 peratus daripada Kuala Lumpur.

“Lokasi Johor juga strategik dalam pasaran negara ASEAN kera­na kita dekat dengan Singapura. Kita juga boleh sampai ke bandar-bandar utama seperti Jepun, China, Dubai dan Australia dalam tempoh enam jam.

“Kos sara hidup di negeri ini juga 68 peratus lebih rendah berbanding Singapura dan 16 peratus berbanding Kuala Lumpur, mempunyai tenaga kerja mahir dan indeks kadar jenayah turun seba­nyak 33 peratus bagi tempoh 2010 hingga 2014,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled memberitahu, bagi tempoh 2013 hingga tahun lalu, sektor pembuatan di negeri ini telah menarik nilai pelaburan asing dan tempatan yang tertinggi dalam negara, iaitu berjumlah RM66.7 bilion.

Daripada jumlah itu, seba­nyak 66.2 peratus atau RM44.182 bilion adalah pelaburan domestik, manakala 33.8 peratus atau RM22.540 bilion pelaburan terus asing (FDI).

“Dari tahun 2006 hingga tahun lalu, Singapura menjadi peneraju utama dalam sektor pembuatan di sini yang telah menarik pelaburan sebanyak RM10.98 bilion, diikuti Jepun (RM8.10 bilion) dan Belanda (RM7.87 bilion),” katanya sambil memberitahu kebanyakan pelaburan berkenaan berkaitan bidang petrokimia, produk bukan metalik, produk kimia, pembuatan makanan, produk logam dibentuk selain elektrik dan elektronik.