Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid yang melawat rumah nenek tersebut, Kiah Arshad, 77, berkata, pihaknya akan membantu membaiki bahagian bumbung rumah tersebut yang bocor dalam masa terdekat.

“Saya akan membantu untuk membaiki rumah nenek ini supaya kehidupnya lebih selesa dan selamat.

“Saya juga akan pastikan keperluan harian nenek Kiah seperti barang makanan mencukupi dan berharap masyarakat di sini turut sama memantau dan menjaganya supaya kehidupannya tidak terbiar,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada Kiah sempena Program Ziarah Kasih di sini semalam.

Dalam pada itu, Kiah berkata, dia sangat terharu dengan bantuan yang diterima daripada ADUN Jeneri itu dan kunjungan pemimpin tersebut ke rumahnya amat bermakna.

“Saya amat gembira dengan kunjungan ini, apatah lagi sejak kebelakangan ini saya tinggal bersendirian di rumah.

“Sekurang-kurangnya ada teman untuk saya berbual-bual setelah suami saya meninggal tiga tahun yang lalu dan apabila diberitahu rumah saya akan dibaiki saya sangat gembira serta bersyukur,” jelasnya.

Kiah memberitahu, cucunya, Zaidi Ahmad, 28, hanya menemaninya ketika waktu malam kerana pada siang harinya dia terpaksa keluar bekerja.

“Cucu saya akan datang menemani kerana saya sudah uzur dan dia risau jika sesuatu yang tidak elok berlaku terhadap saya.

“Saya juga tidak mahu menyusahkan anak-anak saya yang hanya bekerja di kampung dengan pendapatan yang hanya mencukupi untuk diri mereka sahaja sebab itu saya pilih untuk tinggal sendirian,” katanya.