Pelbagai reaksi terutama kecaman dilontarkan warganet selepas menonton Video 'live' Facebook aksi tersebut yang dirakamkan seorang pengguna laman sosial, Farah Shafiza Che Amat sejak ia dimuat naik kelmarin.

Farah Shafiza, 29, ketika dihubungi berkata, ketika kejadian dia yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur berhenti singgah di R&R tersebut untuk ke tandas.

Katanya, dia kemudiannya terdengar kekecohan yang berlaku di hadapan bilik tukar lampin bayi itu sebelum mendapati terdapat seorang wanita sedang membasuh anjing.

"Kakitangan dan orang awam di situ memberitahu yang mereka telah menegur wanita itu tapi tidak dihiraukannya sebelum saya sendiri turut memberi teguran sama kepadanya.

"Mungkin kerana terus ditegur berulang kali, wanita itu akhirnya menoleh kepada kami dan memberitahu yang anjingnya tidak terlalu kotor," katanya.

Menurutnya, dia telah membuat laporan kejadian itu kepada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan dimaklumkan bahawa PLUS telah melakukan samak di lokasi berkenaan.

"Saya kesal apabila wanita itu bukan sahaja tidak mahu mendengar teguran kami malah langsung tidak sensitif kepada orang lain. Itu adalah bilik untuk menukar lampin bayi dan kawasan R&R sendiri adalah kawasan larangan untuk haiwan peliharaan," katanya.

Sementara itu, PLUS dalam satu kenyataan di dalam media sosialnya hari ini menjelaskan, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menyamak dan membersihkan persekitaran bilik berkenaan.

Katanya, pihaknya melahirkan rasa kesal dengan kejadian terpencil itu di mana wanita terbabit tidak menghiraukan teguran petugas dan pelanggan yang menyaksikan kejadian tersebut.

"PLUS juga mengingatkan pengguna bahawa kawasan R&R adalah kawasan larangan untuk binatang peliharaan dan papan tanda mengenainya juga telah disediakan PLUS. 

"Demi keselesaan pengguna lebuhraya PLUS, kami memohon kerjasama semua pelanggan supaya mematuhi larangan tersebut," katanya.  - UTUSAN ONLINE