Ucapan syabas kepada Johor Corporation (JCorp) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kerana menyedari peranan pen­ting institusi wakaf dalam sistem ekonomi Islam dan sepatutnya menjadi keutamaan serta agenda ekonomi nasional.

Wakaf bukan sahaja eksklusif untuk umat Islam, malah yang bukan Islam juga atas dasar tanggungjawab sosial yang secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk mengambil bahagian dalam menyumbang sesuatu kepada komuniti.

PPPMM merasakan sudah sampai masanya Malaysia sebagai salah satu negara majoriti Muslim paling maju, mendahului membina kekuatan ekonomi dengan mengintegrasikan nilai Islam bertujuan memperkasa dan menya­tupadukan semula umat Islam.

Kita harus berbangga dengan kejayaan negara memperkenalkan perbankan dan kewangan Islam dan kini tiba masanya kita mentransformasikan dan mentakrif semula syarikat dan institusi korporat ciptaan kapitalis Barat, kali ini mengikut acuan Islam.

Proses transformasi ini wajar kita lakukan secara berperingkat dengan fokus utama ialah membentengi hak milik ekonomi Melayu-Muslim dengan mengetepikan dasar penswastaan.

Penswastaan merosakkan kerana mengutamakan individu swasta mengatasi kepentingan besar rakyat majoriti, sekali gus membentuk gaya hidup individua­listik dan materialistik, selain melebarkan jurang golongan kaya dengan miskin.

PPPMM berpendapat Malaysia sebagai sebuah negara Islam mesti mengimbangi kuasa korporat swasta dengan membina institusi korporat amanah, penegak keadilan ekonomi. Itulah peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang disifatkan sebagai benteng terak­hir hak milik Melayu-Muslim.

Beberapa GLC sangat wajar diwakafkan menjadikan mereka badan korporat induk Islamik kekal berpanjangan.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada JCorp kerana telah memperkenalkan 'Waqaf Saham Larkin Sentral' yang pertama diperkenalkan di negara kita.

Umat Islam harus optimis terhadap prospek kebangkitan semula memperkasakan ekonomi suatu hari nanti. Malaysia sudah menempa sejarah memperkenalkan institusi seperti Lembaga Tabung Haji dan sistem perbankan Islam diikuti barisan GLC dinamis seperti PNB, Petronas, Felda, JCorp, Bank Islam dan lainnya yang berjaya menginstitusikan amanah menegakkan keadilan ekonomi.