Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penjenamaan semula itu akan menambahkan keistimewaan program tentang masyarakat Cina yang melalui proses asimilasi budaya Melayu dan merapatkan lagi hubungan antara kaum.

“Apabila disebut Mek, ia panggilan mesra, sebagai ganti nama kepada seseorang wanita. Begitu juga denggan panggilan Awang kepada lelaki ( terutama yang muda manakala Mok dan Pok bagi yang tua) .

“Panggilan nama ini digunakan oleh orang Melayu dalam kalangan masyarakat peranakan Cina di negeri ini, menunjukkan betapa rapat dan mesranya kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­rasmikan Festival PeranakanTerengganu 2018 di sini, di kampung Tiong bersebelahan Kampung Cina di pusat bandar raya ini malam semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak; Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh dan Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Datuk Low Wan Cheong.

Festival yang menonjolkan keunikan seni, budaya dan wari­san masyarakat Peranakan Cina ini akan berlangsung hingga 22 Ogos ini, dan penganjur me­nyasarkan dapat menarik 120,000 pengunjung.

Pellbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pameran dan jualan, persembahan jalanan, persembahan kebudayaan moden dan tradisional, demonstrasi masakan serta permainan tradisional.

Menurut Wan Sukairi, melalui festival ini diharap dapat menambahkan lagi kemesraan dan perpaduan antara masyarakat Cina dan Melayu di negeri ini.

“Peranakan di sini bukan sahaja mesra dengan panggilan seperti orang Melayu, tetapi juga turut mengamalkan budaya Melayu tempatan termasuk dari segi pertuturan dengan loghat tempatan, corak pemakanan dan bentuk rumah,” ujarnya.