Namun cinta Dr Kang Myoung Sook, 42, kepada dunia Nusantara tidak terpadam malah beliau bertekad menyambung pengajian dan akhirnya memperoleh Sarjana dalam bidang terjemahan Bahasa Korea dan Bahasa Melayu dari Universiti Pengajian Asing Hankuk di Seoul, Korea Selatan pada 2004.

Beliau yang kini merupakan pensyarah kanan di Pusat Penataan Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, bahasa Melayu mudah dipelajari dan sebenarnya mempunyai banyak persamaan dengan bahasa Korea termasuk dari sudut penyampaian puisi seperti pantun dan sajak.

"Saya berpeluang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya dan telah berkecimpung dalam dunia penterjemahan lebih 16 tahun.

"Saya memilih ke Indonesia pada tahun 2001 dahulu untuk belajar bahasa Melayu dan mengenal lebih dekat masyarakatnya kerana populasi di sana yang besar dan kekayaan gaya bahasa.

"Walaupun tidak lama di Jogjakarta kerana 'dipaksa' pulang ayah dan ibu akibat perstiwa '911' tahun itu tetapi saya sudah boleh berkomunikasi ayat-ayat mudah hasil pergaulan seharian dengan masyarakat tempatan," katanya ketika ditemui di program Apresiasi Budaya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.

Myoung Sook adalah salah seorang daripada 250 peserta dari 12 buah negara yang menyertai Konvensyen Penyair Dunia (KONPEN) 2018 anjuran Persatuan Penyair Malaysia (Penyair Malaysia) yang berkampung di Pantai Chap di sini bermula kelmarin hingga hari ini.

Wanita cantik ini yang menjadi tumpuan peserta sepanjang program turut membentangkan kertas kerja mengenai sastera lisan Klasik Korea serta mendeklamasikan tiga puisi berbahasa Melayu ciptaannya sendiri.

"Ini kali pertama saya buat puisi dan bersajak atas jemputan kawan-kawan yang mahu saya ke Kelantan.

 "Dunia penyair kita sama sahaja, dalam sastera Korea juga ada pantun dan sajak dengan cara penyampaian lembut dan penuh emosi," katanya.

 Program KONPEN 2018 turut mendapat kerjasama UMK, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKKN) negeri Kelantan, Majlis Daerah Bachok (MDB) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). - UTUSAN ONLINE