Ketegangan berlaku apabila dua jentolak MDPP mula menghampiri kawasan pasar berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi. Petugas MDPP bagaimanapun tidak dapat meneruskan tugas mereka akibat dihalang para peniaga.

Dalam masa sama, dua kren yang sepatutnya digunakan dalam kerja-kerja perobohan juga gagal memasuki kawasan pasar kerana disekat kumpulan peniaga terbabit.

Kekecohan reda kira-kira pukul 10.45 pagi selepas operasi perobohan tersebut tidak diteruskan MDPP. Tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh, Kamarzaman Che Ngah berkata, seramai 375 peniaga di situ akan mempertahankan pasar berkenaan daripada dirobohkan pihak berkuasa.

"Kita kemukakan rayuan di mahkamah dan keputusan rayuan itu akan diketahui pada 22 Mac nanti, MDPPN kena tunggu keputusan tu dulu.

"Pihak berkuasa mesti kena bertindak mengikut undang-undang, mana boleh nak buat sesuka hati," katanya.

Polemik di antara MDPP dengan peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh bermula apabila mereka enggan berpindah ke tapak baharu di Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral, di sini walaupun notis berpindah sudah lama berakhir. - UTUSAN ONLINE