Daripada 48 buah sekolah termasuk tiga Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan  Cina, Gred Purata Sekolah (GPS) dijangka mampu dianjak ke tahap 1.7 dan 80 peratus Minimum D yang boleh meletakkan kedudukan daerah ini pada tangga ketiga seluruh negeri.

Sehubungan itu, menjelang UPSR, sebagai pecutan akhir dalam mempersiapkan diri, Program Motivasi Perdana: Cakna Kasih 2017 diadakan di Dewan Aspirasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun hari ini bagi  terus memberi rangsangan kepada 276 calon terpilih.
 
Program itu dicetuskan oleh Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam yang turut berinteraksi dengan calon-calon, warga pendidik dan ibu bapa dengan menjayakan program bercorak dialog dan motivasi bersama dengan pensyarah UITM Dungun, Wahairi Mahmud.

Yang turut hadhir dalam program anjuran bersama Pejabat Pegawai Pembangunan Daerah, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah),

Majlis Guru Besar dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu termasuklah Pegawai PPD, Abdul Muie Ngah.

Program ‘Cakna Kasih UPSR 2017’ dalam suasana santai ini adalah kemuncak daripada susulan siri turun padang Din yang juga Timbalan Pengerusi Ketengah  ke sekolah-sekolah luar bandar di daerah bagi  memberi suntikan rangsangan  kepada calon-calon.

Menurut Din, sebagai pemimpin setempat yang diberi amanah untuk bersama membangunkan daerah ini dan msyarakat, beliau memberi penekanan serius terhadap aspek pembangunan pendidikan dengan menyelami keadaan sebenar di sekolah-sekolah dan warganya.

"Di peringkat sekolah rendah, anak-anak lebih mudah dan dilentur untuk menimba ilmu dengan kesedaran sebagai bekalan bagi mengekalkan kejayaan pada masa depan.

"Pelbagai bantuan disalurkan, namun beberapa sekolah dalam kawasan operasi Ketengah perlu diberi perhatian khusus dalam agenda memperkasakan pendidikan di luar bandar,"ujarnya.-UTUSAN ONLINE