Pasangan mempelai yang sudah memiliki dua cahaya mata itu bukan sahaja segak berbusana pengantin persis orang Melayu, malah mereka diiringi paluan kompang, menepung tawar, silat dan disusuli makan beradab.

Lebih menarik, Paul juga terpaksa mengikut budaya masyarakat Melayu Johor sebelum dibenarkan duduk bersanding di sebelah isterinya apabila dia perlu membayar ‘tol’ terlebih dahulu.

Pasangan yang berbaju songket berwarna biru itu diiringi anak mereka, Julyane Tougas, 15, dan William Tougas, 13, selain diraikan kira-kira 100 kakitangan Kilang LB Furniture yang merupakan rakan niaga kepada Paul.

Menurut Paul, biarpun dia dan isterinya sudah 19 tahun bersama-sama, mereka hanya mendirikan rumah tangga pada pertengahan September lalu.

“Majlis persandingan hari ini diadakan lebih kepada untuk meraikan rakan-rakan perniagaan di sini, di samping tertarik dengan konsep perkahwinan masyarakat Melayu yang unik dan cantik.

“Kami sekeluarga amat gembira dengan layanan yang diberikan bagi menjayakan majlis hari ini yang dijalankan sepenuhnya mengikut adat Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita di Kilang LB Furniture, Batu 7, sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE

Video oleh Muhamad Aimy Ahmad