Yang turut hadir dalam majlis pembukaan tersebut ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makiyo Miyagawa dan Pengerusi Rhom Wako Electronics (Malaysia), Datuk Yosuke Yoshioka.

Pembukaan bangunan yang akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung bulan ini akan menjadikannya sebagai kilang terbesar milik kumpulan Rohm Wako di peringkat global.

Bangunan baharu itu juga akan meningkatkan pengeluaran diod daripada 700 juta kepada 1.3 bilion sebulan.

Pada masa kini syarikat dari Jepun itu menguasai kira-kira 15 peratus pasaran diod dunia.

Sementara itu, Mustapa berkata, pelaburan sebanyak RM600 juta oleh syarikat tersebut untuk pembinaan bangunan baharu serta alat kelengkapan itu menyediakan sebanyak 2,000 peluang kerja kepada rakyat negeri ini.

“Ini adalah hasil usaha Kerajaan Pusat untuk rakyat dan tanpa kerjasama Kerajaan Pas Kelantan usaha ini tidak menjadi kenyataan, kita akan terus bekerjasama untuk faedah rakyat Kelantan.

“Pelaburan ini juga memberikan peluang kepada 150 syarikat tempatan termasuk 70 dari Kelantan menjadi pembekal kepada Rohm Wako,” katanya. - UTUSAN ONLINE