Dikenali sebagai syurga makanan, lokasi tersebut menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong luar asing khususnya penggemar makanan.

Pelbagai makanan terdapat di situ, daripada masakan tempatan, ala Thai, kuih-muih sehinggalah hidangan Barat.

Bagi penggemar makanan Barat, segelintir daripada kita sering memikirkan tentang harga yang agak mahal berbanding hidangan lain. Lebih mengecewakan jika rasanya tidak menepati selera.

Kepada mereka yang tercari-cari hidangan Barat yang enak dengan harga berpatutan, Pekan Station adalah jawapannya.

Berkonsepkan suasana kampung dalam bandar dan berlatar belakangkan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), lebih daripada 20 jenis hidangan disajikan kepada pelanggan.

Walaupun dilihat seperti gerai-gerai biasa, restoran itu mempunyai keunikan tersendiri kerana menawarkan jumlah hidangan yang banyak dalam satu pinggan dengan harga berpatutan.

Pemilik Pekan Station, Muhammad Ainudin Yahuda, 26, berkata, perniagaan tersebut diasaskan oleh bapanya sejak 1999.

Anak muda yang melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK) dalam bidang kimpalan dan mempunyai kerja di beberapa negara di Asia Tenggara itu mengambil alih perniagaan bapanya itu di Kampung Baru sejak beberapa tahun lalu selepas kembali ke tanahair.

“Boleh dikatakan saya hanyalah ‘bidan terjun’ dalam perniagaan ini. “Bapa hanya mengajar saya selok-belok menghasilkan juadah Barat dalam tempoh yang singkat dan beliau kini mengusahakan perniagaan sama di Pekan, Pahang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Bercerita mengenai konsep restoran, Muhammad Ainudin memberitahu dia hanya mengolah sedikit resipi asal bapanya.

“Istimewanya, Pekan Station menyediakan sos yang lebih pekat bersama menu utama seperti Chicken Chop Pasta, Mix Grill yang menggabungkan ayam, daging lembu dan kambing serta Chicken Bleu. Selebihnya pula, hidangan sampingan seperti bebola daging dan Chicken Boxing,” katanya.

Katanya, harga yang ditawarkan setiap hidangan adalah antara RM7 hingga RM16 .

Restoran tersebut turut menawarkan khidmat penghantaran makanan di sekitar ibu kota bermula pukul 11 pagi hingga 6 petang.

Restoran yang terletak di No. 61, Jalan Raja Uda, Kampung Baru beroperasi pada pukul 6 petang hingga 1 pagi dan ditutup pada hari Khamis minggu kedua dan ketiga setiap bulan.

Bagi mereka yang ingin membuat tempahan atau pertanyaan boleh menghubungi talian 0107960648 atau layari laman web www.pekanstation.my atau Facebook dan Instagram, pekanstation. - UTUSAN ONLINE