Memulakan perjalanan dari Perlis, Abu Samah Yusof, 69, atau dikenali sebagai Pak Chat akan merentasi sembilan buah negeri sejauh 664 kilometer dan berakhir di Johor kira-kira dua minggu lagi.

Beliau berkata, risalah mengenai Tabung Rohingya Utusan-Tabung Haji (TH) dan tabung Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia kepada orang ramai sepanjang kayuhan itu akan diedarkan kepada orang ramai.

“Tujuan berbasikal ini bagi mengumpul dana untuk etnik Rohingya yang menghadapi kesusahan dan ditindas serta memerlukan pembelaan.

“Saya berharap orang ramai khususnya sesama umat Islam dapat membantu menyalurkan sumbangan kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Sungai Purun di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abu Samah dijangka tiba di Jalan Bangi pada Ahad ini dan disambut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz, seterusnya memulakan perjalanan ke arah selatan.

Difahamkan, beliau telah tiba di Kepala Batas, Kedah dan menempuh cuaca hujan lebat, selain akan meneruskan kayuhan ke destinasi seterusnya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan tersebut kepada Tetuan Yayasan Kumpulan Utusan melalui akaun Bank Islam 14283010000572. - UTUSAN ONLINE