Video oleh RAJA JAAFAR ALI

Hasni yang dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri selepas PRU-13 bersama-sama rakan dalam BN telah membawa banyak perubahan dan pembangunan di Benut hingga kini.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Nurul Huda Hassan dan jurugambar, Raja Jaafar Ali, Hasni yang juga Pengarah BN Pontian pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkongsi kemajuan pembangunan dan perancangan untuk masa depan Benut dan Pontian.

HASNI MOHAMMAD
HASNI MOHAMMAD

UTUSAN: Datuk pernah menjadi Ahli Parlimen Pontian dan sekarang mempertahankan kerusi DUN Benut untuk penggal ketiga. Bagaimana Datuk melihat Benut dahulu dan sekarang?

HASNI: Memang banyak perubahan yang BN sudah bawa ke Benut ini seperti infrastruktur dan kemudahan termasuk untuk orang muda dan hari ini kita dapat lihat banyak kemudahan dibawa se­perti gelanggang futsal, bazar, pusat pengumpulan produk kampung dan bermacam lagi dan kita tidak terhenti di situ. Jadi, Aku Janji BN Pontian mencerminkan keperluan masyarakat menambah baik segala macam kemudahan bagi memperbaiki gaya hidup, meningkatkan peluang ekonomi dan pendidikan sama ada akademik mahupun latihan. Kita memang sentiasa memberi penekanan dalam aspek pendidikan dan atas sebab itu juga, kita memohon kepada kerajaan negeri untuk membangunkan pusat latihan dan pusat pendidikan seperti membina sekolah agama berasrama penuh yang pertama di Pontian.

Penambahbaikan infrastruktur yang bagaimana berlaku di Benut ini?

Sepanjang bergelar wakil rakyat di DUN Benut ini, saya sentiasa memastikan dalam kita membenarkan arus pembangunan berlaku di sini, kita sentiasa mencari jalan supaya permuafakatan atau suasana dalam kalangan ma­syarakat juga berkembang maju. Benut juga tidak ter­ke­cuali daripada wujudnya golongan muda yang mengharapkan adanya pembaharuan di sebuah kampung tradisional ini dan atas sebab itu kita wujudkan pelbagai kemudahan yang melengkapi keperluan mereka. Dan dari segi masyarakat secara umum, kita melihat keperluan perumahan, malah kerajaan

negeri juga sudah bersetuju untuk membangunkan perumahan mampu milik selain terdapat juga awasan setinggan yang perlu kita bantu. Ini telah dapat kita buat kerana kerajaan negeri menyediakan tapak untuk kita bangunkan kawasan penempatan baharu bagi menyelesaikan isu setinggan. Saya boleh katakan dalam tempoh lima tahun akan datang Benut akan bebas daripada kawasan setinggan.

Parlimen Pontian yang terdiri daripada DUN Benut dan Pulai Sebatang, sudah menjadi 'kubu' BN. Adakah masyarakat setempat akan terus dapat melihat kerancakan pembangunan di kawasan itu di bawah BN?

Sudah tentu kerana kita tidak boleh lari daripada hakikat setiap orang inginkan keselesaan, kemu­dahan yang lebih baik seperti mereka mahukan pengangkutan da­ri Benut-Simpang Renggam, kita kena sediakan Bas Muafakat Johor, masyarakat mahukan supaya ada tempat ekonomi yang lebih sesuai. Bazar dan gerai tepi jalan kita akan susun semula supaya disediakan tempat yang menarik. Jadi, jika kita mahu kawasan ini kekal menjadi 'kubu' kuat BN kita perlu terus membawa perubahan dan pembangunan.

Datuk berdepan pertarungan tiga penjuru, jadi macam mana persiapan?

Senario politik semasa menyaksikan pertandingan tiga penjuru di banyak tempat sama juga di DUN Benut dan Pontian, mereka yang bertanding pula merupakan anak tempatan. Bagi, BN kekuatan dan kelebihan kita adalah menerusi rekod kita dalam menjayakan pelbagai program untuk rakyat, pembangunan yang dirancang BN selama ini...itu semua akan menjadi bukti kita kepada masyarakat di Benut dan Pontian.

Pesanan kepada pengundi di DUN Benut dan Pontian?Pesanan saya ialah supaya kita membuat keputusan yang dapat menjamin masa depan generasi akan datang, dengan adanya pelbagai perancangan masa depan oleh BN, adalah sesuatu yang perlu disokong oleh masyarakat di Johor selain ini adalah peluang untuk kita bangkit menjadi daerah dan negeri yang berjaya di negara kita. Marilah kita bersama-sama fikir jauh ke depan, tidak guna kita mengasaskan pertimbangan kepada andaian dan sesuatu yang tidak pasti. Jangan pertaruhkan masa depan anak bangsa kita.