Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehingga kini, kejadian banjir berpunca daripada masalah seperti parit tersumbat, dahan kayu yang tersangkut di jambatan dan rumput atau lalang yang dibiarkan panjang.

Katanya, sekiranya kerja penyelenggaraan dilakukan secara kerap, masalah banjir kilat akan dapat dielakkan setiap kali hujan lebat berlaku.

"Banjir kilat berlaku di negeri ini berpunca daripada aliran air yang tersumbat atau tidak lancar dan ia surut dengan cepat selepas hujan berhenti," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan fasa pertama kilang pengeluar produk kaca dan cermin berteknologi tinggi, Kibing Group (M) Sdn. Bhd. dan memulakan proses memanaskan relau peleburan kaca di sini hari ini.


Video oleh ABD. RAZAK AID

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kibing Group (M) Sdn. Bhd. Lim Swee Ee.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah Kuala Pilah dan Rembau akibat hujan lebat kira-kira pukul 6 pagi hari ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran kawasan sawah dekat Ulu Bendul yang dinaiki air tetapi boleh dilalui kenderaan.

Banjir kilat turut melanda Kampung Batu Inas, Kampung Alai dan Kampung Bukit di Kuala Pilah tetapi tiada mangsa yang dipindahkan manakala paras air dilapor semakin surut.

Di Rembau, paras air naik di Jalan Pedas-Rembau, Jalan Kampung Relung-Batu Hampar, Jalan Kampung Pilin-Durian Daun dan Jalan Kampung Gaing.

Di Seremban, antara kawasan terbabit ialah Jalan Pantai dan Paroi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut melawat dua kampung yang terjejas dengan banjir kilat iaitu Kampung Batu dan Kampung Pulau.