Pengerusi pertandingan, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Mohd. Sam berkata, pertandingan yang dianjurkan secara dwi-tahunan sejak 1999 itu terbahagi kepada dua kategori iaitu peringkat pengajian tinggi dan sekolah menengah.

Katanya, berbeza pada pertandingan kali ini, semua peserta perlu membina model jambatan pada tempoh yang ditetapkan dengan bahan-bahan yang akan disediakan di UTM.

“Bagi peserta kategori sekolah menengah pula, mereka masih dibenarkan membawa model yang disediakan lebih awal.

“Setiap model akan dinilai berdasarkan kepada tiga faktor iaitu kekuatan dan keringanan struktur; kreativiti dan keboleh­binaan; persembahan multimedia dan secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Menurut Abdul Rahman, hadiah keseluruhan bagi tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori adalah sebanyak RM3,250.

Katanya, sambutan yang di­terima daripada peserta setakat ini menggalakkan dan pihaknya turut menjemput beberapa universiti dari Indonesia, Thailand, Brunei, Vietnam dan Singapura untuk menyertainya.

“Melalui pertandingan ini, kita berharap ia mampu menjadi pemangkin kepada sekolah-sekolah di seluruh negara untuk menyemai budaya kreatif dan inovatif dalam reka bentuk jambatan di samping dapat me­nyemai minat dalam kerjaya kejuruteraan awam.

“Medium ini diharap dapat memberi pendedahan kepada mereka untuk berkongsi idea dan pengalaman bersama peserta dari dalam dan luar negara,” katanya.

“Sementara kepada penuntut universiti, medium ini diharap dapat memberi pendedahan untuk berkongsi idea dan pengalaman bersama peserta dari dalam dan luar negara,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai pertandingan ini, bolehlah melayari laman sesawang www.civil.my/bridge/ atau facebook rasmi pertandi­ngan, https://www.facebook.com/UTMBridge untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Tarikh tutup menghantar penyertaan berupa cadangan serta lukisan model berkaitan pula perlu dihantar kepada penganjur sebelum 20 Februari ini.