Wartawan Utusan Kota, ABDUL RAZAK IDRIS, menemubual Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Shah Alam, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Yaakop yang melihat masalah tersebut dan apakah langkah segera yang perlu dilakukan pihak berkuasa.

Turut disentuh beliau ialah isu Stadium Shah Alam yang sehingga kini tiada penyelesaian oleh Kerajaan Negeri Selangor, sedangkan prasarana bertaraf antarabangsa itu di bina untuk keperluan rakyat.


Utusan Kota: Datuk merupakan antara pemimpin muda yang serius membangkitkan soal kebajikan generasi Y khususnya dalam memperjuangkan prasarana sukan untuk mereka. Apakah Datuk berpuas hati dengan program-program yang diwujudkan di peringkat negeri?

Ahmad Mua'adzam Shah: Usaha ke arah pembangunan sukan pada saya belum digerakkan secara serius oleh kerajaan negeri dan sebab itu kita tidak nampak ada sebarang penganjuran sukan yang benar-benar memberi tarikan kepada orang ramai menyebabkan golongan muda hari ini terpaksa mencari atau mewujudkan sendiri program tersebut.

Sepatutnya ia tanggungjawab kerajaan negeri untuk mengge­rakkannya dan jika itu dapat dilakukan dengan sempurna, saya fikir keperluan orang muda dalam konteks itu akan dapat dipenuhi.

Apakah Datuk melihat prasarana yang disediakan sekarang memenuhi keperluan orang muda terutamanya dalam aspek sukan?

Bila menyentuh tentang kepelbagaian dari sudut prasarana yang ada, kita boleh lihat di Shah Alam ini tidak menyokong ke­perluan golongan itu. Keperluan untuk bersukan dan beriadah tidak berjaya ditampung kerajaan negeri Selangor buat masa ini.

Jika kita mendampingi orang muda, kita akan tahu apa keperluan dan juga rungutan yang se­ring mereka bangkitkan.

Dari situ kita tahu bahawa masih terdapat banyak jurang serta tanggungjawab yang belum dilaksanakan oleh pihak berwajib iaitu kerajaan negeri dalam konteks ini.

Pada pandangan Datuk apakah prasarana yang menjadi ke­perluan orang muda khususnya di Shah Alam ini?

Pertamanya saya melihat di Shah Alam ini masih kekurangan gelanggang futsal sedangkan ia sukan yang cukup diminati orang muda ketika ini. Kita harus ingat, sukan dan prasarana ini tidak boleh dilihat secara tersurat sahaja tetapi kepentingan tersirat itu harus diutamakan kerana ia dapat menghindar gejala sosial.

Selain itu, pusat-pusat kebudayaan juga perlu diperbanyakkan di Shah Alam ini bagi memberi ruang kepada orang muda mengenali, mempelajari dan menyintai seni budaya bangsa agar ia dapat dipertahankan dan tidak lenyap ditelan zaman.

Sukan sering dikaitkan dengan orang muda namun di Selangor, ada kemudahan sukan bertaraf antarabangsa tetapi manfaatnya cuba dinafikan iaitu Stadium Shah Alam, apa pandangan Datuk?

Berkait persoalan isu Stadium Shah Alam, sebagai Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi Parlimen Shah Alam, kami bercakap soal keperluan dan kami sebenarnya tidak berminat untuk mencampuri urusan politik terutamanya membabitkan keputusan kerajaan negeri yang dipertikai orang muda.

Apabila kita bercakap tentang golongan muda, masyarakat akan fokuskan kepada dua perkara utama iaitu pembangunan sosial dan keperluan golongan muda ini sebagai pelapis kepada kepimpinan negara.

Hari ini golongan muda rasa tercabar kerana prasarana yang ada untuk anak tempatan di­nafikan disebabkan faktor politik, ini sepatutnya tidak berlaku.

Isu Stadium Shah Alam ini rantaian kesan kemelutnya agak meluas dan salah satunya yang dapat kita lihat ialah apabila stadium kosong, peniaga juga menerima kesan, apa pandangan Datuk?

Sebab itu saya tegaskan Stadium Shah Alam ini tidak sepatutnya menjadi isu politik kerana ia prasarana sukan dan hari ini kesannya kita dapat lihat, bukan sahaja kepada pa­sukan The Red Giants, Persa­tuan Bola Sepak Selangor (FAS) mahu pun peminat itu sendiri tetapi juga peniaga.

Jika sebelum ini, ketika Sela­ngor dibenarkan bermain, penjaja yang rata-ratanya bumiputera boleh berniaga untuk menambah pendapatan tetapi kini apa sudah jadi? Bukankah ini merugikan banyak pihak hanya kerana ke­egoan politik pihak tertentu?

Apakah yang sewajarnya dilakukan untuk mengatasi masalah ini dan memastikan kemudahan sukan untuk rakyat ini tidak menjadi mangsa politik?

Untuk mengatasi masalah ini, perlu pendekatan khusus dari kerajaan negeri Selangor.

Dalam hal ini, orang muda tahu apa yang mereka mahukan dan kita dapat lihat perkara ini disuarakan secara lantang oleh penyokong The Red Giants melalui Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS).

Orang muda tahu apa yang mereka mahukan. Mereka mahu suara orang muda diberikan perhatian.

Pada saya, generasi Y khusus­nya penyokong The Red Giants bukan sahaja mahu pasukan Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam, malah mereka mahu prasarana yang sesuai untuk perkembangan dan pembangunan sosial secara sihat.

Harapan Datuk kepada semua pihak terlibat dalam isu ini?

Saya berharap semua pihak berlapang dada dan melihat kepada kepentingan rakyat iaitu penyokong yang rata-ratanya adalah orang muda dalam isu ini.

Cukup-cukuplah bermain politik kerana sukan ini sepatutnya menyatukan kita dan bukannya memecah-belahkan sesama kita.