Namun pada 11 Mac lalu, Pas Johor dalam satu sidang akhbar membuat kejutan apabila sedia mewujudkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam PRU-14.

Menurut Pesuruhjaya Pas ne­ge­ri, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed, pihaknya hanya me­nunggu lampu hijau daripada Pas Pusat. Kerjasama itu termasuk dalam soal pembahagian kerusi di Johor.

Secara tidak rasmi kerusi sudah ‘dibahagikan’ tanpa melibatkan kawasan Pas antaranya Parlimen Johor Bahru, Pasir Gudang, Segamat, Muar, Pagoh dan Ledang. PPBM Johor yakin semua kerusi ini dapat ditawan kerana ada antaranya Barisan Nasional (BN) menang tipis.

Ini bermakna, Pas Johor akan merintis jalan penyatuan untuk parti­-parti pembangkang dimulakan dengan kerjasama dengan PPBM. Soal pembahagian kerusi, pertembungan melibatkan beberapa penjuru, itu ditentukan kemudian.

Selepas itu, PKR dan DAP yang sebelum ini berada di persimpa­ngan jalan akan membentuk pakatan pembangkang baharu. Ja­ngan terkejut, ini adalah normaliti dalam politik atau berpolitik.

Apa yang penting bagi mereka adalah melakar peta bersama-sama ke Putrajaya selain juga menawan Nusajaya atau Iskandar Puteri bagi menguasai pusat pentadbiran kerajaan negeri. Cita-cita mereka jauh meneroka masa depan.

Pola pengundian tidak diketahui akan berubah. Namun apabila semua parti pembangkang bersatu yang dimulakan di negeri ini, tidak mustahil gelombang tsunami politik akan bangkit dari Johor sebelum membadai ke negeri lain untuk mengubah landskap politik.

Ini akan menjadi satu ancaman UMNO untuk mengekalkan hegemoninya di negeri ini dalam PRU-14. Malah merupakan ca­baran luar biasa dalam UMNO Johor terutama ketika ini kredibel Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Kha­led Nordin sedang 'diuji'.

Ujian yang diterima Menteri Besar itu bukan kepalang. Isu-isu semasa dijadikan instrumen ampuh menyerangnya kiri dan kanan. Malangnya dalang yang bersembunyi di sebalik konspirasi politik ini adalah ‘orang Johor sendiri’. Petualang dan musuh dalam selimut.

UMNO dan BN Johor kini berdepan kemaraan PPBM dan ge­rombolan pembangkang, saluran demokratik untuk parti ras Melayu itu kini dirasakan semakin sempit selepas isu-isu semasa dimainkan bertujuan menjejaskan reputasi.

Sudah tentu orang Johor menilai segala apa yang berlaku. Dikatakan selepas ini ada beberapa lagi pemimpin akan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini memberikan imej buruk kepada UMNO.

Johor yang berdaulat tidak pernah kestabilan politiknya berkocak seperti ini, sebelumnya tenang dan merupakan benteng kukuh BN. UMNO yang diidentifikasikan sebagai parti pro rakyat dan sentiasa kepada paradigma tauhid sebelum ini kini dicemari.

Adakah ini bermakna UMNO Johor akan hilang momentum politiknya dan tidak dapat kembali memerintah dengan mandat baharu selepas PRU-14? Ini persoalan yang kritikal dan analitikal.

Satu langkah koreksional wajar dilakukan UMNO jika ingin terus memerintah Johor. Kestabilan po­litiknya diganggu apatah lagi Johor merupakan negeri paling tinggi menerima pelaburan domestik atau pelaburan langsung asing (FDI).