Seiring dengan perkembangan semasa CIAST beroperasi sepenuhnya di bawah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia bermula dari tahun 1991 hingga 2007.

Pada Jun 2007, pengurusan CIAST dipindahkan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) hingga kini. Wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS menemu bual Pengarah CIAST, DR. MOHAMAD SULAIMAN bagi berkongsi tentang hala tuju CIAST.

UTUSAN MALAYSIA: Boleh kongsikan sedikit mengenai program komuniti setempat bersama pelatih? 

DR.MOHAMAD: CIAST mem­pu­nyai Kursus Pembangunan Tenaga Pengajar iaitu Latihan Operasi Vokasional (VTO).

Antara modul latihan adalah subjek tanggungjawab sosial bersama masyarakat. Baru-baru ini pelatih kami mengadakan program bersama masyarakat di Seksyen 23 Shah Alam yang disertai kira-kira 200 penduduk.

CIAST bukan sahaja mahu melahirkan pelatih yang mampu menjadi tenaga pengajar tetapi peka terhadap masalah dalam komuniti.

Bagaimana CIAST membantu meningkatkan taraf hi­dup rakyat khususnya yang memiliki kemahiran te­tapi tiada sijil?

CIAST sentiasa peka terhadap keperluan masyarakat terutama dalam membantu mereka mening­katkan sosio-ekonomi.

Bagi tujuan ini kursus dan latihan kemahiran bersesuai­an ditawarkan dalam bidang teknikal se­perti automotif, komputer, elektronik, kimpalan, mekatronik dan pengeluaran.

Kursus-kursus ini boleh dimohon melalui laman web CIAST dan jangka masa kursus antara tiga hingga lima hari.

CIAST dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) ada melaksanakan persijilan melalui kaedah Pengiktirafan Pencapai­an Terdahulu (PPT) atau Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Bagaimana de­ngan pelaksana­an program turun padang ?

CIAST me­laksanakan promosi ke pusat-pusat latihan awam dan swasta bagi me-nerangkan program-program yang ditawarkan.

Tidak ketinggalan menyer­tai program pa­meran dan karnival anjuran agensi kerajaan dan swasta ba­gi menguar-u­­arkan maklumat kepada masyarakat.

Difahamkan ada program khusus untuk memberi pendedahan kemahiran kepada warga Shah Alam? Boleh jelaskan.

Karnival Skills Malaysia CIAST diadakan pada setiap tahun.

Pada 30 September hingga 2 Oktober lalu, CIAST menjadi tuan rumah Pertanding­an WorldSkills Malaysia Belia (WSMB), Pertan­dingan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) dan Pertan­dingan WorldSkills Junior. Pada karnival tersebut juga diadakan Seminar Pendi­dikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Skills Malaysia 2018.

Apakah harapan CIAST pada masa hadapan?.

CIAST sebagai pusat pengajar beriltizam untuk memperkasa tenaga pengajar TVET dengan meningkatkan kepakaran mereka di institusi kemahiran dan di sektor industri itu sendiri.

Kami juga berhasrat membuda­yakan aktiviti pe­nyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelatih dan pengajar.

Dalam masa sama, lebih ramai pereka dan pencipta dilahirkan dalam pelbagai bidang berkaitan TVET selaras perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0.