DATUK BANDAR: Kita memang menghargai kerja-kerja sukarela namun tindakan mereka itu bukan cara yang sesuai. Mereka tidak boleh pergi ke jalan dan menurapnya sendiri kerana boleh membahayakan pengguna. Kalau ada yang dilanggar kereta, siapa akan bertanggungjawab.

Lagipun, mengapa mereka mahu menghabiskan wang sedangkan DBKL mempunyai peruntukan khas untuk membaiki jalan. Kita juga ada wang deposit daripada syarikat-syarikat yang menjalankan kerja-kerja mengorek jalan untuk digunakan. Bagaimanapun,­ kita harap mereka (Brotherhood)­ dapat memberi kerjasama dengan­ menyalurkan­ maklumat mengenai masalah kerosakan jalan.

Adakah tindakan mereka itu menyalahi undang-undang?

Mereka sebenarnya telah melakukan­ kesalahan kerana membuat kerja tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan sekali gus menyalahi­ Seksyen 39, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) serta boleh dikompaun tidak lebih­ RM500. Bagaimanapun, DBKL tidak bercadang mengambil tindakan malah mengadakan pertemuan dengan kumpulan itu baru-baru ini. Namun, kalau mereka masih terus­ menurap jalan, kita terpaksa mengambil tindakan.

Apa pendekatan DBKL dalam me­nangani­ aduan mengenai jalan rosak?

DBKL amat menggalakkan orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan kerosakan dan salah laku di kawasan DBKL.

Kita akan memperbaiki kelemahan yang ada dengan memberi perhatian terhadap langkah menyiasat aduan orang ramai, mengambil tindakan segera dan memastikan kerja yang dilakukan berkualiti.

Kita juga telah memiliki sistem aduan berpusat (i-Spaaa) di talian bebas tol 1-800-88-3255 bagi memudahkan orang ramai menyalurkan mak­lumat dan aduan­ berhubung masalah serta perkhidmatan DBKL. Tindak balas terhadap aduan akan dibuat dalam tempoh 24 jam.

Mengapa jalan-jalan raya di ibu negara mudah rosak dan berlubang?

Antara punca kerosakan jalan ialah kegagalan syarikat-syarikat utiliti menurap semula jalan mengikut spesifikasi selepas mengoreknya­ bagi menanam kabel atau paip. Masalah lain yang merosakkan jalan ialah kenderaan berat, tumpahan konkrit dan diesel, paip pecah dan takungan air akibat hujan lebat serta kerja-kerja mengorek jalan secara haram.

Apakah cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh DBKL dalam menguruskan jalan-jalan di ibu negara?

Orang ramai perlu faham bahawa DBKL mengendalikan sepanjang 2,010 kilometer jalan di ibu negara yang menjadi tumpuan kira-kira 1.5 juta kereta pada waktu malam dan antara dua hingga tiga juta pada waktu siang. Ini menyebabkan berlaku bebanan terhadap jalan dan kadar kerosakan yang tinggi.

Jalan raya turut menjadi laluan bawah tanah kepada sistem kabel, air dan pembetungan syarikat-syarikat utiliti yang terpaksa mengorek­ jalan. Sebagai contoh, laluan di Jalan Binjai, Kuala Lumpur dikorek sebanyak lapan kali oleh syarikat utiliti dan ini menjejaskan kekukuhan jalan.

Selain itu, banyak pembangunan projek mega serta hartanah dijalankan ketika ini yang menggunakan jentera-jentera berat sekali gus memberi cabaran kepada DBKL untuk memastikan jalan dalam keadaan­ baik.

Apakah sikap kontrakktor yang dilantik oleh DBKL turut menjadi punca masalah penyelenggaraan jalan raya?

Terdapat 50 kontraktor yang dilantik DBKL untuk membaiki jalan, tetapi ada antara mereka yang ‘menjual projek’ kepada 10 syarikat lain. Bayangkan, bagaimana syarikat yang sedikit jumlahnya itu mahu membaiki jalan di seluruh Kuala Lumpur. Kita akan tamatkan khidmat mereka yang berbuat demikian dan akan mencari kontraktor lebih berkualiti.

 

Apakah langkah untuk memperkemaskan lagi pengurusan jalan di ibu negara?

Kita bercadang untuk tidak membenarkan lagi syarikat-syarikat utiliti menggunakan kontraktor yang mereka lantik sendiri untuk tujuan membaiki jalan. Sebaliknya,­ DBKL akan melantik­ kontraktor panel yang dipersetujui oleh syarikat-syarikat terbabit.­ Ini membantu kita mengenal pasti kontraktor yang telah diberi tanggungjawab dan kualiti kerja mereka.

Selain itu, sebuah syarikat telah­ dilantik khusus bagi menyelia keadaan­ jalan dan mengumpul data dan maklumat mengenai kerosakan dan keadaan jalan.

Kita juga akan meningkatkan peruntukan bagi penyelenggaran jalan serta longkang pada tahun hadapan berbanding RM77 juta tahun ini.