Berikutan itu, kepimpinan tertinggi kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut mengadakan perbincangan ke arah kerjasama berkaitan sempena program Jelajah Ilmu Unimap ke universiti kejuruteraan terkemuka itu, di sini semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap mengetuai delegasi Unimap semasa perbincangan berkenaan, manakala Nazarbayev University diketuai Presidennya, Shigeo Katsu.

Turut sama ialah Timbalan Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Madya Razli Ahmad.

Lawatan para pemimpin Unimap ke Nazarbayev University kali ini juga disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Bakri Syed Abdul Rahman.

Kunjungan ke Nazarbayev University itu merupakan aktiviti pertama sempena program Jelajah Ilmu Unimap selama dua hari ke Astana yang merupakan ibu kota Kazakhstan yang moden dan tersusun.

Semasa para pemimpin tertinggi kedua-dua universiti tersebut mengadakan perbincangan, sekumpulan mahasiswa Unimap yang terdiri daripada pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pula mengadakan perbincangan dengan para penuntut Nazarbayev University mengenai peluang kerjasama mereka.

Sementara itu, Raja Muda Perlis bertitah, Unimap akan terus memberi fokus terhadap hubungan antarabangsa dan jalinan kerjasama Unimap dengan pelbagai universiti terkemuka secara berjadual.

Titah Tuanku Syed Faizuddin, menerusi lawatan itu juga, memberi peluang kepada warga Unimap untuk mewujudkan jaringan komunikasi yang berkesan antara mahasiswa dan kumpulan pendidik.

Menerusi lawatan ini juga titah baginda, bertujuan memperkenalkan Unimap sebagai universiti kejuruteraan yang semakin berkembang dengan jumlah penuntut lebih 13,000 orang, termasuk dari luar Malaysia.

“Unimap sentiasa mendedahkan penuntutnya di peringkat antarabangsa. Antara yang terbaharu ialah menghantar 14 mahasiswa menjalani pendedahan di Guangdong University of Foreign Studies di Guangzhou, China selama tiga minggu.

“Pada masa yang sama,10 lagi mahasiswa Unimap mengikuti program outbound mobiliti di universiti-universiti terkemuka dunia,” titah baginda.

Raja Muda Perlis turut memaklumkan bahawa Unimap telah dianugerahkan geran-geran penyelidikan antarabangsa seperti Horizon 2020, Erasmus dan Newton-Ungku Omar berjumlah hampir RM2.8 juta.

Pada masa yang sama titah baginda, Unimap diberikan geran industri lebih RM1.8 juta, manakala geran di peringkat nasional hampir RM102 juta yang membuktikan Unimap memiliki pelbagai keupayaan.

Nazarbayev University yang diwujudkan tujuh tahun lalu mempunyai kira-kira 4,000 mahasiswa dan terletak di tengah bandar raya Astana, telah mencatatkan pelbagai kemajuan sejak diwujudkan, sekali gus mendorong Unimap untuk menjalankan kerjasama. - UTUSAN ONLINE