Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, melalui jalinan kerja sama itu, pihak swasta boleh berperanan sebagai penasihat kurikulum.

Titah baginda, ini bagi memastikan program yang ditawarkan sentiasa relevan dengan kehendak pasaran semasa.

“Situasi menang-menang yang diamalkan dalam konteks jaringan strategik telah menatijahkan pencapaian yang memberangsangkan bagi Unimap.

“Ini semua telah dibuktikan dengan peratusan tinggi kebolehpasaran siswazah,” titah baginda yang juga Canselor Unimap.

Baginda mengutarakan perkara itu ketika mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Unimap ke ibu pejabat syarikat Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.A.R.L, di Marine Plaza, di Baku, di sini semalam.

Ketua bagi Pengoperasian Negara Azerbaijan Petronas, Hanafi Talib menyambut keberangkatan baginda sebelum memberikan taklimat berkaitan kepada rombongan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unimap.

Yang turut hadir Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan, Datuk Roslan Abul Rahman dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Dalam program Jelajah Ilmu Unimap kali ini, rombongan MPP universiti tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan, satu melawat operasi syarikat Petronas manakala selebihnya melawat kilang syarikat konglomerat Azersun iaitu Azerbaijan Oil and Fat.

Raja Muda Perlis turut menyatakan, antara kehebatan mahasiswa Unimap ialah lebih mudah mendapat pekerjaan.

“Contohnya, beberapa hari sebelum istiadat konvokesyen Unimap penghujung Oktober lalu, sekurang-kurangnya 85 peratus siswazah Unimap dari lima pusat pengajian telah mendapat pekerjaan,” jelas baginda.

Daripada 85 peratus siswazah terlibat, titah Tuanku Syed Faizuddin, 89 peratus adalah penuntut Kejuruteraan Alam Sekitar, manakala Kejuruteraan Bahan (91 peratus), Kejuruteraan Mikroelektronik (92 peratus), Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomuniaksi (96 peratus) dan Fakulti TeknologiKejuruteraan 85 peratus.

“Baki enam lagi pusat pengajian mencatatkan kebolehpasaran mencecah 70 peratus. Ini membuktikan Unimap menembusi pasaran pekerjaan dalam tempoh yang singkat selepas menamatkan pengajian,” jelas baginda. - UTUSAN ONLINE