Program Jelajah Ilmu MPP Unimap 2017 itu turut diadakan bagi meneroka peluang kerjasama dengan ins­titusi-institusi pengajian tinggi dan sektor korporat di negara berkenaan bagi disesuaikan dengan keperluan ke­dua-dua negara dalam pelbagai bidang.

Dua bidang utama yang menjadi matlamat Unimap membawa sekumpulan 31 orang MPP itu ialah kerjasama berkaitan minyak dan gas yang menjadi komoditi utama kedua-dua negara.

Rombongan MPP Unimap kali ini diketuai oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap.

Sewaktu di Baku, ibu negara Azerbaijan, Tuanku Syed Faizuddin turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Azerbaijan, Mikayil Jabbarov mengenai kerjasama dengan Azerbaijan selaras dengan penekanan universiti tersebut dalam aspek pencapaian kecemerlangan akademik.

Baginda menyatakan, sasaran kerjasama kedua pula melibatkan kepakaran pelbagai bidang kursus yang ditawarkan oleh Unimap berkaitan agroteknologi dan juga teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Selain itu, Raja Muda Perlis juga turut mengetuai rombongan MPP yang sama ke Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.A.R.L, di Marine Plaza, Baku, Azerbaijan.

Beberapa MPP yang ditemui ternyata berbangga dengan usaha Unimap membawa mereka untuk menjengah dan mempelajari lebih jauh dalam bidang pendidikan di kedua-dua negara berkenaan.

Nordalila Nazri, 22, memberitahu, mahasiswa mendapat maklumat yang jelas mengenai komo­diti Azerbaijan, terutama setelah mendapat penerangan dan mengikuti sesi soal jawab dengan pihak Petronas yang disampaikan oleh Ketua Pengoperasian Negara Azerbaijan Petronas, Hanafi Talib.

Penuntut tahun tiga Ijazah Komunikasi Media Baharu Unimap yang berasal dari Kedah itu menyatakan, meskipun program Jelajah Ilmu MPP Unimap tersebut singkat, namun bukan sedikit pelajaran yang diperolehi sepanjang berada di kedua-dua negara.

Bagi penuntut tahun empat Ijazah Kejuruteraan Biosistem, Muhamad Zulfahmi Abd. Halim, 22, selain minyak dan gas, anggota MPP turut dibawa meninjau operasi kilang syarikat konglomerat Azersun iaitu Azerbaijan Oil and Fat yang antara lain mengeluarkan minyak masak dan makanan.

“Saya dan rakan-rakan berterima kasih kepada Unimap kerana membawa kami untuk belajar sesuatu yang cukup baharu. Sepanjang program jelajah ilmu itu, setiap peserta mengumpulkan maklumat sebanyak mungkin untuk kami kongsi nanti,” katanya.