Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, kerjasama itu mungkin akan menjurus kepada kegiatan di luar Malaysia.

"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai bentuk kerjasama antara UniMAP dan AUCMS di Malaysia nanti," katanya selepas meninjau kampus AUCMS di Trent Park, London baru-baru ini.

Terdahulu, Kamarudin melawat infrastruktur kampus yang terletak di tapak seluas 21 hektar dan diberi taklimat oleh Pengarah Pembangunan dan Infrastruktur Akademik dan Perkhidmatan Klinikal AUCMS, Dr. Abu Hassan Samad.

Sebelum menjadi kampus AUCMS London, 20 bangunan yang terletak dalam kawasan taman awam Trent Park itu digunakan oleh Middlesex Polytechnic sebelum dinaikkan taraf sebagai Middlesex University pada 1992.

Universiti itu kemudiannya berpindah ke kampus baharunya di Hendon pada 2012 dan hartanah bernilai kira-kira 60 juta pound sterling itu dibeli pada Julai lepas oleh ACMS Trent Park Limited, syarikat yang diwujudkan AUCMS pada Januari tahun ini.

Pada Julai 2013, ACMS Trent Park mengambil alih kampus Trent Park di bahagian Utara London daripada Middlesex University, yang merupakan kampus luar pesisir pertama AUCMS yang beribu pejabat di Kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang dan turut mempunyai cawangan kampus di Perlis.

Kamarudin berkata, sekiranya perbincangan itu berhasil, UniMAP akan menyenaraikan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dengan AUCMS di kampus London.

Naib Canselor UniMAP itu berada di London baru-baru ini bagi menyertai lawatan kerja universiti tersebut yang diketuai oleh Raja Muda Perlis. Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP.

Selain AUCMS, UniMAP juga berhasrat menjalin kerjasama industri dengan pengeluar kereta Lotus terutama berkaitan kejuruteraan automotif. - BERNAMA