Dalam program anjuran Universiti Teknologi Petronas dengan kerjasama dan soko­ngan Pusat Inovasi dan Kreativiti Digital Malaysia (MAGIC) serta Perbadanan Pembangunan Tek­no­logi Malaysian (MTDC) itu, Enactus mengetengahkan projek FAITH bagi mengeluar dan memasarkan sabun timun.

Enactus, kelab di bawah bim­bingan Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC) dan Hal Ehwal Pelajardan Alumni (HEPA) UMT itu merencana langkah membimbing komuniti di Pulau Jenagor, Kuala Berang, Hulu Terengganu untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Seiring dengan corak kehi­dupan masyarakat di situ yang bergantung kepada sumber pertanian, projek FAITH membuka ruang nilai tambah kepada hasil tanaman dengan menarik penglibatan mereka.

Enactus yang diwakili Muhammad Aidil Ridzuan Nasaruddin, Azraaei Azaharuddin, Muhammad Hisham Hamid, Siti Rosmaida Mohd. Samsuddin dan Nurul Fatiha Hassan telah berjaya menyakinkan panel dalam pembentangan tersebut.

Muhammad Aidil Ridzuan memberitahu, dengan geran yang ditawarkan, pihaknya merancang untuk menyediakan pusat pengeluaran sabun berkenaan.

“Tetapi sebelum itu, kami perlu mengkaji garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi penghasilan produk halal di samping kelulusan Kementerian Kesihatan supaya menepati piawaian yang ditetapkan.

“Dengan adanya sijil-sijil daripada agensi-agensi itu, membolehkan kami mengkomer­sialkan produk tersebut kelak bagi meningkatkan keyakinan pengguna di dalam dan luar negara,”ujarnya.

FAITH terpilih untuk memasuki pusingan akhir dalam kategori Programme Committee yang dinilai daripada pelbagai sudut termasuk permasalahan dan cadangan penyelesaian, pembentukan inovasi sertakelebihan daya saing produk sumber alam yang berkait dengan kesegaran kulit dan wajah itu.