Kemenangan itu memboleh­kan remaja dari Kampung Ladang di sini membawa pulang wang tunai RM5,000.

Shaiful Nizam berkata, kejayaan bergelar johan itu merupakan yang pertama buatnya sepanjang hampir empat tahun bergiat aktif dalam aktiviti memancing.

“Sebelum ini sudah banyak kali saya mencuba nasib dalam pertandingan memancing tetapi, hanya mendapat hadiah sagu hati. Alhamdulillah, kali ini rezeki berpihak kepada saya dan tidak sangka dapat memenangi hadiah utama.

“Duit ini saya mahu simpan sebagai bekalan masa depan selain digunakan untuk keperluan keluarga dan hal-hal penting,” katanya.

Hadiah kepada pemenang di­sampaikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Zamri Awang Hitam.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Baru, Hanafiah Ismail.

Pertandingan Ngail Ikan Darat Fiesta Integrasi Rakyat anjuran JKKK Gong Baru, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persa­tuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Komuniti 1Malaysia itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai kira-kira RM20,000.

Sementara itu, Hanafiah ber­kata, acara tradisi sejak 1999 itu berjaya menarik sehingga 800 penyertaan termasuk dari Marang, Dungun dan Setiu.

“Tujuan pertanding­an ini adalah untuk menyemai semangat perpaduan dalam kala­ngan peserta dan orang ramai. Melihat kepada sambutan positif setiap tahun, maka program ini akan diteruskan selaras untuk mengeratkan lagi hubu­ng­an antara penduduk kampung dengan komuniti di daerah lain,” katanya.

Pengunjung turut berpe­luang menyertai acara meneka biji buah betik yang menawarkan hadiah utama bernilai RM300 bagi johan diikuti RM200 di tempat kedua dan ketiga (RM100).

Kemenangan itu berpihak kepada Mohd. Napi Taib apabila menjadi peserta tunggal yang berjaya meneka dengan tepat iaitu 603 biji.