Di mana ada ruang dan peluang, tidak kira sama ada di tembok-tembok, tiang tele­fon awam, papan tanda dan din­ding bangunan semuanya menjadi sasaran segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terbaharu, apabila kemudahan Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) yang hanya kurang seminggu dibuka kepada orang ramai dilaporkan turut menjadi mangsa vanda­lisme.

Amat menyedihkan, kerana sistem pengangkutan awam yang menjadi penanda aras kemajuan negara itu masih mempunyai masyarakat mentaliti kelas ketiga.

Perumpamaan ‘diberi susu, tuba dibalas’, sesuai sekali menggambarkan sikap mereka yang bukan sahaja tidak tahu berterima kasih, apalagi bersyukur.

Seolah-olah kebaikan yang dihulur tidak dihargai dan tiada nilainya. Bagaimanakah perasaan insan-insan dari pe­ringkat pe­mimpin atasan hinggalah kepada buruh binaan yang selama ini bertungkus lumus menyedia dan me­nyiapkan kemudahan itu?.

Menurut pandangan seorang pakar psikologi yang hanya mahu dikenali sebagai Dr. Ann kepada penulis, beliau tidak menolak penularan gejala vandalisme dalam kalangan masyarakat hari ini adalah disebabkan kelemahan dan keruntuhan institusi keluarga.

Ibu bapa hari ini terlalu sibuk sehingga melupakan tugas hakiki menjadi model contoh kepada anak-anak termasuk menunjukkan sikap dan perbuatan yang baik.

Contohnya, mengamalkan sikap menjaga kebersihan, tidak membuang sampah me­rata-rata, menyayangi har­ta benda awam dan sebagainya.

Semua itu nampak biasa, tetapi itulah permulaan untuk mencorakkan bagaimana anak-anak kita menjadi luar biasa pada masa depan.

Ingatlah kemudahan awam mewakili ‘pelaburan’ rakyat. Apabila berlakunya vanda­lisme, sudah tentu hak orang ramai digunakan untuk kerja-kerja baik pulih.