Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, siri syarahan itu adalah satu program yang dimulakan oleh UMK sejak 2008 lagi.

Beliau berkata, CLS amat pen­ting kerana program itu bukan ha­nya untuk mendapatkan ilmu, tetapi untuk mendapatkan pengalaman sebenar penggiat industri.

“Melalui program ini, kita akan dapat ilmu secara terus dari­pada mereka yang berpengalaman dalam industri ini, sekali gus membuka mata untuk melihat konsep kejayaan menerusi kehidupan berkomuniti.

“Pelajar juga diberikan pendedahan bagaimana untuk mempelajari persekitaran baru dan apa pendekatan yang digunakan dalam proses mempelajari ilmu keusahawanan bagi memastikan mereka bersedia untuk berdepan cabaran sebenar selepas tamat pelajar nanti,” katanya selepas majlis Siri Syarahan Perdana UMK di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Mortadza Mohamed.

Dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Tenggara Axiata Group Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly dan Pengarah Komputeran dan Informatik UMK, Prof. Dr. Safa'ai Deris telah menyampaikan syarahan perdana.

Hamad Kama Piah berkata, setiap penceramah yang dijemput mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing untuk berkongsi dengan masyarakat.