UMK telah memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Pejabat Ahli Parlimen Ledang, Johor yang menanam sebanyak 3004 anak pokok gaharu pada Disember 2016.

Ketua Projek Penanaman Ga­haru UMK, Prof. Madya Dr. Hashim Md. Noor berkata, program penanaman pokok gaharu yang di kategorikan antara spe­sis pokok terancam itu adalah anjuran Fakulti Sains Bumi (FSB) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MITB) dan pasar raya Tesco.

Beliau berkata, program itu juga kesinambungan daripada per­janjian Program Penghijauan Bumi yang dibuat dengan MITB pada 17 Februari 2014 bagi penanaman 10,500 pokok.

“Sebelum ini, sebanyak 4,000 pokok karas dan 500 rumpun Buluh Madu telah ditanam di kawasan Taman Agro dan penanaman 6,000 lagi anak pokok karas hari ini (semalam) adalah bagi melengkapkan penanaman di bawah perjanjian tersebut.

“Projek penanaman anak pokok karas ini membabitkan seramai 450 peserta termasuk 50 pensyarah serta ahli Kelab Explo Rimba SEH.

“Pokok ini penting bagi pe­ngeluaran gaharu (minyak gaharu dan kayu gaharu) yang ber­nilai tinggi dan kita mendapat tahu yang kayu gaharu gred terbaik dapat dijual pada harga melebihi RM15,000 sekilogram manakala harga minyak gaharu boleh mencecah RM50,000 sekilogram,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis Program Sambutan Hari Perhutanan Sedunia 2017 dan MBOR bagi Penanaman Pokok Karas Terbesar, di Taman Agro UMK kampus Jeli, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Ja­batan FSB, Zulhazman Ham­zah; Timbalan Dekan, Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Prof. Madya Dr. Julie Juliewatty Mohamed dan Ketua Penolong Pengarah Hutan Ladang MTIB, Mohd. Zamakhsyary Mustapa.

Objektif utama program tersebut adalah untuk pemeliharaan biodiversiti dan program penghijauan kampus.

Majlis penyerahan sijil pengiktirafan itu disempurnakan oleh wakil MBOR, Muhammad Shukri Hairon Nahar kepada Pengarah Hutan Ladang MTIB, Kamaruzaman Othman.

Sementara itu, Kamaruzaman ketika ditemui berkata, in­dustri karas dan gaharu di negara ini meningkat dengan men­dadak ber­mula tahun 2005 dengan ber­tambahnya bila­ngan ladang Karas di seluruh negara.

“Berdasarkan statistik eksport Malaysia 2016, nilai eksport bagi produk karas dan gaharu me­n­catat RM15.16 juta melonjak pe­ningkatan sebanyak 15 peratus jika dibandingkan pada tahun 2015 sebanyak RM13.19 juta.

“Manakala dari segi penanam karas pula, sehingga Mac 2017, sebanyak 115 syarikat dan individu telah berdaftar dengan MIIB dengan keluasan sebanyak 1,491 hektar dengan membabitkan sebanyak 1.34 juta pokok karas yang telah ditanam,”katanya.