Lelaki berkenaan mengetuk tingkap cermin kereta berkenaan sambil menghulurkan tangan sebagai isyarat meminta bayaran dengan raut wajah yang serius.

Senario tersebut biasa dilihat di Bandar Raya Johor Bahru terutama di Jalan Ibrahim, Jalan Dhoby, Jalan Trus, Jalan Tan Hiok Nee dan sekitarnya. Mereka merupakan ulat parkir yang kelihatan seperti penagih dadah, orang gelanda­ngan dan ahli kumpulan gengster!

Kelibat penjaga parkir haram itu boleh dilihat pada waktu siang dan selalunya ‘aktif' dari pukul 8 malam hingga lewat pagi. Keha­diran mereka bukan sahaja menyu­sahkan orang ramai malah mengancam keselamatan kende­ra­an yang diletakkan.

Lebih teruk lagi terdapat ulat parkir yang sengaja meletakkan penghalang seperti kotak kosong atau kerusi buruk di petak meletak kereta itu yang sepatutnya menggunakan kupon Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Mereka berlagak seolah-olah seperti penjaga sah kawasan parkir di jalan-jalan utama berke­naan. Kadang-kadang seakan memaksa malah pernah pemilik kenderaan pernah diekori semata-mata untuk menagih bayaran.

Bukan itu sahaja sering kali juga berlaku perbalahan kecil sesama mereka dipercayai berpunca daripada perebutan untuk mendapatkan pelanggan selain disebabkan terdapat ulat parkir yang ‘menceroboh’ ke kawasan ulat parkir lain.

Meskipun tiada harga terten­tu yang ditetapkan, namun ulat parkir meminta bayaran minimum RM1 hingga RM5 untuk setiap kenderaan atau mengikut belas ehsan pemilik kenderaan.

Mereka memperoleh antara RM30 hingga RM50 sehari menjadikan ular parkir di bandar raya ini tidak serik ‘beroperasi’ semula walaupun ada antaranya sudah sembilan kali ditangkap.

Kegiatan tersebut semakin berleluasa di sekitar bandar raya ini walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak MBJB untuk membanteras dan 'memulihkan' daripada 'cengkaman' ulat parkir.

MBJB turut mengambil langkah proaktif dengan menempatkan anggota penguat kuasa untuk mela­kukan kawalan statik serta menjalankan rondaan kerap di lokasi dikenal pasti bagi mengelak kegiatan itu berlaku selain menghalau mereka.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga sudah memasang papan tanda larangan mengutip duit parkir dan memberi duit kepada ulat parkir di beberapa lokasi tumpuan mereka terutama di sekitar Bazar Karat antaranya di Jalan Ibrahim, Jalan Dato’ Onn, Jalan Trus, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Bukit Timbalan dan Jalan Dhoby.

MBJB setiap masa melakukan pemantauan di kawasan disebutkan. Bagaimanapun PBT itu tidak mempunyai kuasa menahan ulat-ulat parkir kerana ketiadaan akta yang boleh mendakwa mereka.

Mereka hanya boleh didakwa mengutip wang secara haram daripada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum dihadapkan ke mahkamah serta dijatuhi hukuman denda RM300 oleh Mahkamah Majistret jika mengaku bersalah.

Apabila akta melibatkan kuasa yang ada pada polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dipinda kepada PBT yang kini prosesnya sedang berjalan, masalah itu akan dapat dibanteras secara proaktif atau setidak-tidaknya secara berperingkat-peringkat.

Datuk Bandar, A. Rahim Nin menjelaskan, MBJB ketika ini mengambil inisiatif melaksanakan operasi bersepadu bersama-sama polis, JPJ dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).

“Sehingga Julai 2017, tujuh operasi ulat parkir dilakukan sekitar kawasan Johor Bahru terutama di Jalan Ibrahim, Jalan Dhoby, Jalan Trus, Jalan Tan Hiok Nee dan sekitarnya.

“Seramai 110 individu yang ditangkap polis dan AADK untuk tujuan saringan air kencing dan sa­ringan jenayah. Majoriti daripada mereka positif dadah,” ujar beliau.

Ular parkir berkenaan yang seakan-akan zombi berkeliaran di pusat bandar secara tidak langsung menjejaskan imej Johor Bahru yang mahu dilihat sebagai sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa pada masa ini dan met­ropolis pada masa akan datang.

Kegiatan itu seakan tidak terkawal malah lebih merisaukan apabila terdapat warga bandar raya membuat aduan mendakwa mereka diugut ulat parkir sekiranya tidak memberikan wang.

Difahamkan ada antara ulat parkir tersebut bergerak sendirian dan juga terdapat kemungkinan melibatkan sindiket. Justeru satu langkah bersepadu dan berterusan perlu dilakukan bagi membersihkan bandar raya ini daripada ulat parkir.

Orang ramai juga perlu be­ker­jasama dengan tidak menghulurkan wang kepada mereka. Sekira­nya merasa terancam atau bimbang kereta dicalar atau dirosakkan, pemilik kenderaan boleh berhubung dengan polis atau MBJB supaya tindakan dapat diambil.