Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

UAM perjuang usaha tani bandar

JUMLAH peserta Agropreuneur Muda sentiasa meningkat dari semasa ke semasa seperti mana program di ba 3
JUMLAH peserta Agropreuneur Muda sentiasa meningkat dari semasa ke semasa seperti mana program di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang diadakan di Dewan PPK Bagan Datuk, Perak, baru-baru ini. – UTUSAN /ABDUL RAZAK IDRIS

MUKADIMAH
SUATU ketika dahulu tidak ramai kalangan bumiputera dapat dilihat berniaga di kawasan bandar dalam apa juga bentuk perniagaan sama ada dalam bidang makanan, pakaian atau perkhidmatan.

Bagaimanapun, pandangan sedemikian semakin hari semakin berubah apabila wujudnya pertambahan golongan bumiputera yang meneroka peluang ekonomi di kawasan bandar sekali gus akan memberikan kesan keseimbangan ekonomi antara kaum di kawasan perbandaran.

Keseimbangan itu mungkin boleh dicapai menerusi usaha kerajaan mewujudkan Unit Agropeneur Muda (UAM) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan meningkatkan penyertaan golongan muda bumiputera di bandar.

Wartawan Utusan Kota, ABDUL RAZAK IDRIS baru-baru ini bertemu dan mengemukakan tujuh soalan kepada DATUK NASARUDDIN OTHMAN yang merupakan antara individu yang dipertanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Meremajakan Pertubuhan Peladang bagi merealiasikan matlamat itu.


UTUSAN KOTA: Bagaimana kita boleh mendapat sumber makanan sedangkan hari ini kita masih tidak cukup bahan makanan hingga terpaksa diimport dari negara jiran?

Usaha meramaikan usahawan tani dan pembekal makanan me­lalui bidang pertanian giat dige­rakkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Unit Agropreneur Muda (UAM) di seluruh negara. Saya sebagai antara individu yang menggerakkan usaha itu sedang melaksanakan Pelan Tindakan Korporat Meremajakan Pertubuhan Peladang Malaysia.

Selaku Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Perak, Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Negeri Perak Kampung Gajah dan menjadi pakar motivasi Kor Tani Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Nasional, saya telah menyampaikan puluhan sesi ceramah dan pe­nerangan mengenai bentuk usahawan tani bandar dan dana untuk menjayakan usaha tersebut.

Mengapa perlu kita mewujudkan lebih ramai usahawan tani atau di kawasan bandar?

Bila bercerita tentang pertanian kita biasanya melihat panorama menghijau di kampung-kampung atau di kawasan berbukit seperti Cameron Highland dan sawah padi di daerah Batang Padang. Sedangkan bukan sahaja orang kampung yang makan sayur dan durian malahan orang bandar pun makan sayur dan buah yang sama.

Hari ini usahawan tani bukan sekadar menjadi penanam sayur tetapi ia mempunyai makna yang luas. Jika kita tidak boleh menjadi petani apa salahnya kita menjadi usahawan yang menjadi pemasar hasil tanaman yang berpusat di bandar sama ada sebagai pengedar mahupun pekedai.

Jika kita boleh mewujudkan hab pemasaran dalam kalangan usahawan muda di bandar kita bukan sahaja mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada mereka malahan memecahkan monopoli peniaga yang memanipulasi harga hingga membebankan pengguna.

Bukankah di bandar ada kekangan tanah pertanian? Apakah kaedah untuk mengatasi masalah itu?

Saya optimis jika kita kita wujudkan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bandar, usahawan tani bandar boleh diwujudkan dengan sistematik.

Ia boleh dilakukan jika generasi muda hari ini didedahkan dengan pertanian moden menggunakan ruang yang optimum.

Pertanian konvensional dan moden seperti sistem pertanian hidroponik, fertigasi dan pasu boleh dilaksanakan di bandar tanpa tanah yang luas.

Hasilnya, petani boleh mewujudkan jaringan pemasaran mikro dalam kalangan usahawan yang menumpukan kepada pemasaran hasil tani yang sudah pasti mewujudkan situasi menang-menang antara mereka.

Apabila usahawan muda telah wujud, bagaimana momentum kejayaan mereka dapat dikekalkan?

Kos pertanian di bandar amat tinggi, mungkin usahawan bandar terpaksa menyewa tanah di pinggir bandar.

Harga sayur-sayuran import yang rendah biasanya sukar diatasi namun jika ada dasar yang mampan menyekat lambakan sayur-sayuran import maka usahawan bandar mahu pun luar bandar akan terus 'bernafas'.

Komen mengenai aspirasi remaja dalam isu pertanian dan usahawan muda?

Kita di UAM turut sama dalam berkongsi idea dengan golongan belia di bandar mahupun luar bandar. Kita kena melihat masa depan dalam perancangan kita hari ini. Gagal merancang bermakna gagal untuk mencipta kejayaan pada hari esok.

Aspirasi anak muda inginkan masa depan dengan hasil tani membekalkan makanan yang cukup kepada mereka dan anak-anak mereka, soalnya siapa yang akan menggerakkan agenda ini kalau bukan mereka sendiri sebagai pewaris bumi bertuah ini.

Jika mereka tidak memajukan pertanian di bandar dengan secara moden seperti di Jepun dan Eropah, kos hidup akan semakin melambung dan mereka juga sebagai penghuni bandar yang akan terbeban kelak.

Apakah dana dan bentuk latihan untuk usahawan tani muda di bandar yang disediakan?

Pada pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebanyak RM100 juta telah diperuntukkan untuk mewujudkan usahawan tani di seluruh negara.

Sepatutnya peluang ini digapai oleh usahawan muda di bandar kerana mereka merupakan antara kumpulan sasaran untuk meremajakan industri huluan hasil tani sebagai pembekal dan pengedar serta peruncit hasil tani dengan kewujudan Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) di pusat bandar.

Walaupun syarat-syarat memohon dana Tabung Agropreneur Muda agak ketat, saya berharap mereka mengambil peluang ini sebelum ia diambil oleh orang lain.

Adakah usaha menggalakkan usahawan tani bandar ini berjaya jika peniaga lebih suka mengimport hasil tani yang murah?

Sepatutnya peniaga atau pemborong yang menyebabkan harga hasil tani tempatan merudum, berhati besar dan mengutamakan produk tempatan kerana usahawan tani yang ada hari ini tidak kira di bandar dan luar bandar akan ‘mati’ begitu sahaja.

Memang benar tiada sekatan dan kawalan tetapi kita sebagai pengguna tempatan perlu sedar adakah produk import lebih berkualiti atau sebaliknya. Kita pun tidak tahu adakah petani di negara luar menggunakan racun serangga dan baja yang diluluskan penggunaannya di negara ini.

Mungkin yang mahal lebih berkualiti dan selamat.

Inilah cabaran usahawan muda iaitu membuktikan sayur-sayuran dan hasil tani mereka adalah yang terbaik walau semahal mana pun kos menanamnya.

Tepuk dada tanya selera mahu jadi usahawan kota yang berjaya atau hanya menjadi pengguna sehingga ke tahun 2050.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain