Istiadat pemasyhuran pelantikan serta menjunjung duli itu diadakan sempena keberangkatan pulang Sultan Kedah setelah tamat tempoh lima tahun penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Isnin lalu.

Tunku Sallehuddin menggantikan Raja Muda Kedah sebelum ini, Tunku Abdul Malik Almarhum Sultan Badlishah, 86, yang mangkat pada 29 November tahun lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar akibat kegeringan.

Pengisytiharan pemasyhuran dilakukan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din, di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'Adzam Shah dan Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun.

Tunku Sallehuddin yang juga adinda Sultan Kedah, melafazkan taat setianya untuk melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan ikhlas malah akan sentiasa patuh dalam menjunjung titah Sultan Kedah.

Tunku Sallehuddin kemudian melafaz sumpah dan menandatangani Watikah Sumpah Raja Muda yang turut disaksikan Ketua Hakim Syarie Negeri, Datuk Syeikh Abdul Rahman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hashim Hamzah.

Sultan Kedah turut berkenan mengurniakan Keris Kebesaran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan istiadat itu disusuli dengan paluan nobat dan sembilan das tembakan meriam.

Timbalan Mufti Kedah, Datuk Sheikh Marwazi Dziyauddin kemudian membaca doa bagi memohon keberkatan majlis.

Istiadat pemasyhuran itu turut dihadiri Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’Adzam Shah dan beberapa kerabat Diraja lain.

Tunku Sallehuddin diputerakan pada 30 April 1942 dan mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff. Mereka dikurniakan dua putera. - UTUSAN ONLINE