ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM
ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM

Jadi bukan sesuatu yang menghairankan jika tokoh ini sangat dekat dengan penduduk Baling. Malah manifesto beliau untuk penduduk di Baling juga sentiasa menekankan kebajikan mereka selain pembangunan. Wartawan, NORLIA RAMLI menemu bual ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM baru-baru ini untuk mendekati isi hatinya terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


UTUSAN: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan pencapaian sepanjang lima tahun ini bergelar wakil rakyat Baling?

ABDUL AZEEZ RAHIM: Secara peribadi saya berpuas hati kerana setakat ini usaha saya untuk menaik taraf sosioekonomi masyarakat Baling, sudah membuahkan hasil. Saya juga bersyu­kur kerana masyarakat Baling tidak mengukur ‘pembangunan dan kemajuan’ itu bukan sahaja berdasarkan berapa banyak projek mega atau bangunan baharu yang dibina di Baling.

Sebaliknya ‘pembangunan dan kemajuan’ yang lebih utama ada­lah berapa ramai anak Ba­ling yang berpeluang ke universiti, jumlah penagih dadah yang dapat dipulih­kan, penduduk yang dapat dike­luarkan dari kemiskinan,usahawan baharu yang dapat dilahirkan dan sebagainya.

Dalam pada itu, tiga projek berskala besar di Baling dilaksana iaitu kampus UiTM Baling, Hospital Pakar Baling dan Masjid Daerah.

Apakah pendekatan yang digunakan oleh Datuk Seri dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat Baling?

Saya mengutamakan faktor kebajikan rakyat. Setiap permasalahan rakyat boleh dikemukakan terus kepada saya tanpa had masa atau protokol tertentu setiap kali saya berada di Baling. Sememangnya rakyat mahukan wakil rakyat yang mereka pilih itu bertemu dengan mereka dan bukannya ‘wakil’ kepada wakil rakyat itu. Dalam melaksanakan kebajikan untuk rakyat Baling, saya juga tidak pernah pilih kasih atau mengambil kira perbezaan fahaman politik.

Datuk Seri begitu fokus terhadap pendidikan sehingga menyediakan bas sekolah percuma, tuisyen percuma dan sebagainya. Apa visi Datuk Seri sebenarnya?

Saya berprinsip untuk me­ngubah taraf kehidupan seluruh penduduk Baling, mungkin saya tidak mampu kerana mereka dari latar belakang sosioekonomi yang berbeza-beza. Namun untuk mengubah kehidupan gene­rasi pewaris mereka di masa depan, saya yakin mampu mela­kukannya jika saya memberi fokus kepada pendidikan dan perubahan cara berfikir generasi Baling. Justeru saya melaksana Program Sifar Buta Huruf de­ngan menyediakan prasarana dan dana untuk penglibatan murid, ibu bapa, pemimpin masyarakat dan guru-guru.

Adakah parti pembangkang menjadi satu ancaman di Parlimen Baling pada pilihan raya kali ini?

Saya berpegang kepada pesa­nan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pembangkang sebenarnya tidak mampu meyakinkan rakyat dengan sesuatu yang realistik. Mereka hanya mencipta fitnah dan berita palsu tanpa fakta supaya rakyat terkeliru de­ngan ‘perang persepsi’.

Oleh itu, saya secara berterusan berusaha mendekati rakyat agar mereka mempunyai persepsi yang betul terhadap Barisan Nasional melalui apa yang mereka peroleh dan nikmati berbanding fitnah yang digembar-gemburkan oleh pembangkang.

Apakah harapan Datuk Seri kepada pengundi di Baling pada PRU-14?

Saya amat yakin pengundi Ba­ling tahu menilai prestasi Barisan Nasional di Baling selama ini ke­rana hampir setiap permasalahan rakyat yang dikemukakan kepada saya, pasti ada jalan penyelesai­annya.

Tambahan pula, pengundi Baling adalah dalam kalangan masyarakat yang kaya budi bahasa, tahu menghargai serta sentiasa mengutamakan masa depan generasi mereka. Pelbagai faedah kebajikan dan bantuan yang mereka nikmati sekarang, pas­tinya mereka tidak akan mampu ‘diracuni’ oleh hasutan pembangkang.