Sambil menyelar tuduhan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan itu hanya dibuat tanpa disokong oleh sebarang fakta.

Beliau berkata, permohonan untuk merizabkan tanah Melayu adalah atas permohonan orang Melayu dan apabila kerajaan meluluskannya, maka ia dimestikan menjadi tanah rizab Melayu.

“Jadi, di manakah tuduhan mengatakan tanah rizab Melayu itu menguntungkan golongan elit sahaja. Di Johor tanah rizab Melayu adalah sebanyak 29.4 peratus daripada keluasan negeri ini.

“Dan kalau kita bandingkan Johor dengan Selangor dan Pulau Pinang...tanah rizab Melayu di Selangor hanya 20.2 peratus manakala Pulau Pinang pula tak ada tanah rizab Melayu,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (DAP-Mengkibol) yang mendakwa pelaksanaan pemilikan tanah rizab Melayu hanya menguntungkan golongan elit politik sahaja.

Hong Pin turut mendakwa, penjelasan Mohamed Khaled berhubung perkara berkaitan tanah rizab Melayu sebelum itu seolah-olah orang Melayu di Pulau Pinang dan Selangor terseksa di negara ini.

“Pembangkang tidak pertikai dasar tapi pelaksanaannya supaya ia tidak tertumpu kepada golongan elit sahaja. Jadi, kita mahu tahu apakah langkah diambil untuk pastikan tanah rizab Melayu bukan untuk golongan tertentu sahaja,” katanya.