Program anjuran Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysian (SME Corp.) cawangan Perak itu bertujuan melahirkan seramai mungkin usahawan muda sebagai pemangkin ekonomi masa depan.

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Khairuddin Termizi yang merasmikan kursus berkenaan berkata, Daerah Bagan Datuk bertuah kerana terpilih sebagai perintis program Tube Mega 2018 Perak.

Menurutnya, Tube merupakan cabaran kepada usahawan muda untuk menguji kemam­puan mereka menjadi usahawan yang berjaya.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu melihat lebih ramai usahawan muda muncul sebagai pemangkin ekonomi masyarakat setempat.

“Timbalan Perdana Menteri mahu melihat Bagan Datuk menjadi pusat pengeluaran produk berkualiti untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar datang ke daerah ini,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peserta yang ditemui berkata, program Tube membuka peluang kepada golongan be­lia menerokai dan me­ngem­bangkan lagi perniaga­an mereka.

Nurul Ain Zainal Abidin, 26, yang mengusahakan kedai menjual pakaian berkata, dia mahu mengembangkan lagi perniagaannya.

“Saya cemburu kerana bangsa lain berjaya disebabkan mereka pandai berniaga dan saya pun mahu jadi seorang usahawan yang berjaya,” katanya.

Khairulazuan Mazlan, 33, ber­kata, dia menyertai program Tube pada 2014 dan menerima pembiayaan sebanyak RM15,000.

“Saya bersyukur kerana sebelum ini hanya menjual burger bakar tapi sekarang dengan bermodalkan RM15,000 saya dapat mengembangkan perniagaan mencuci kereta,” katanya.